Alliamah (dua dari kiri) tidak dapat menahan sebak sebaik Ruslin menyerahkan MyKad di Bangunan Persekutuan, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Penantian seorang wanita warga emas berusia 64 tahun untuk mendapat kad pengenalan (MyKad) akhirnya tercapai apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang menyerahkan dokumen tersebut kepadanya hari ini.

Kegembiraan dan keterujaan itu dapat dilihat pada wajah R. Alliamah susulan ketiadaan kad pengenalan menyusahkan dirinya untuk memohon bantuan termasuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Alliamah.

Menurut warga emas itu, dia dilahirkan di Liberty Wood Estate, Kulim, Kedah iaitu kepada pasangan M. Ramasamy dan M. Anjalay setahun selepas negara mencapai Kemerdekaan.

Katanya, dia berdepan situasi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri disebabkan rumah mereka dijilat api dalam satu kejadian yang mengakibatkan semua dokumen penting untuk mendaftarkan kelahirannya.

“Hari ini saya bersyukur dan gembira kerana penantian saya terjawab dan akhirnya disahkan sebagai rakyat Malaysia.

“Hidup saya susah sangat tanpa MyKad walaupun hakikatnya saya merupakan rakyat sah negara ini. Saya hampir putus asa mendapatkan MyKad memandangkan sejak usia 20 tahun saya berusaha untuk itu.

“Pelbagai dugaan saya tempuhi dalam tempoh 44 tahun ini untuk mendapat MyKad termasuk mengalami kerugian ribuan ringgit akibat ditipu individu yang mendakwa ejen JPN dan mampu menyelesaikan masalah saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima MyKad daripada Ketua Pengaeah JPN, Datuk Ruslin Jusoh di Bangunan Persekutuan, Jalan Anson di sini, hari ini.

Alliamah menunjukkan MyKad miliknya kepada anak-anaknya.

Hadir sama, Pengarah JPN negeri, Nur Zulfa Ibrahim.

Sementara itu, anak ketiga Alliamah, Mohd Faizal Suresh Abdullah, 45, berkata, mereka sekeluarga berterima kasih kepada JPN Pulau Pinang kerana dalam tempoh lapan bulan berurusan bagi membolehkan ibunya mendapat MyKad.

“Selama ini kami tidak tahu atau menggunakan saluran betul untuk menyelesaikan masalah ibu kami, namun selepas bertemu dengan pihak yang betul (JPN negeri) semua urusan ibu selesai tanpa menelan kos yang tinggi.

Mohd Faizal.

“Kami tujuh beradik tahu bagaimana ibu bersusah payah mencari rezeki untuk membesarkan kami kerana dia tidak hanya boleh melakukan kerja-kerja sambilan akibat tiada MyKad.

“Malah, sebagai seorang anak saya amat gembira dan bersyukur segala urusan ibu untuk mendapatkan MyKad selesai,” katanya. 

Dalam pada itu Ruslin berkata, statistik permohonan daftar lewat kad pengenalan bagi tempoh 2020 hingga sekarang merekodkan sebanyak 6,067 kes di seluruh negara.

Ruslin.

Jelas beliau, kebanyakan isu daftar lewat ini membabitkan kelahiran luar nikah yang mana ibu bapa tersebut takut tindakan dikenakan terhadap mereka ketika mendaftarkan kelahiran anak.

“Berdasarkan pemantauan JPN dapati masih terdapat rakyat di negara ini yang enggan hadir ke JPN bagi menyelesaikan masalah mereka.

“Sebaliknya, ada kes khidmat ejen digunakan untuk urusan JPN bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri sehinggakan mereka terpaksa tanggung kerugian hampir RM5,000 akibat diperdaya ejen tersebut sedangkan JPN hanga mengenakan caj RM50 bagi setiap kes pendaftaran lewat.

“Lebih mengejutkan kes-kes terpedaya dengan ejen ini selalunya berlaku di kawasan bandar,” katanya.

Tambah Ruslin, JPN mempunyai 225 pejabat JPN di seluruh negara yang boleh membantu setiap rakyat di negara ini membabitkan isu dokumen pengenalan diri.

“Kita mahu setiap rakyat Malaysia yang lahir di sini mempunyai dokumen pengenalan diri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast