Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai bodoh sekiranya terus menunda pilihan raya umum (PRU) sehingga membolehkan parti lawan menjadi bertambah kuat.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kepimpinan BN tidak seharusnya melayan kehendak pembangkang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu melenggahkan pilihan raya sehingga habis penggal Parlimen ke-14.

Menurut Zahida, pilihan raya umum perlu diadakan segera tambahan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tamat hari ini.

“Ertinya pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa. Kami mahu pilihan raya diadakan segera. Kita sudah menang besar di Melaka, kita sudah menang besar di Johor, jangan sampai momentum kemenangan ini hilang. Segeralah diadakan pilihan raya.

“Datuk Seri Pengerusi jangan sesekali melayan kehendak pembangkang dan juga Bersatu yang mahu melengah-lengahkan pilihan raya sehingga ke hujung penggal.

“Kenapa kita perlu tunggu mereka bergabung, baru kita nak serang, jangan kita berikan mereka vitamin untuk mereka lebih kuat. Bodohlah kita, tidak menyerang ketika musuh kita lemah,” kata Zahida.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Konvensyen Puteri BN yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Zahida ketika berucap pada Konvensyen Puteri BN

Konvensyen tersebut dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu Zahida mahu agar BN meletakkan 30 peratus calon wanita muda dalam pilihan raya umum nanti.

Katanya, selama ini wanita muda dalam BN hanya diberikan tanggungjawab khas ketika pilihan raya berlangsung tetapi diabaikan untuk menjadi calon.

“Merayu undi wanita, membanci gred pengundi, wanita. Bersengkang mata menghadap komputer Wanita muda, menguruskan data pengundi wanita muda.

“Dimaki hamun ketika mengendalikan call centre – wanita muda. Namun kalau pilih calon, kamilah yang paling bawah. Banyak alasan pasti diberi.

“Sebab itu sesekali terfikir juga. Apa kata kita ubah peranan? Biar lelaki merayu undi atau buat kerja Jalinan Rakyat? Atau jaga komputer dan kendalikan call centre? Biar kami pulak jadi calon dan lelaki bekerja untuk memenangkan kami?” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast