SHAH ALAM – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan penghargaan kepada 700 perwakilan Konvensyen BN Selangor yang masih setia bersama parti walaupun kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Beliau berkata, lebih manis lagi apabila masih ramai pimpinan dan akar umbi parti tidak menghilangkan diri dan menyepi selepas BN hilang kuasa, baik di Selangor mahupun di Putrajaya sejak 2018.
“Saya lihat waktu banjir besar, siapa di hadapan sekali? Bukankah BN, bukankah kita bertungkus-lumus, sampai saya pergi ke tempat-tempat, tak nampak muka orang lain, hanya UMNO dan BN meskipun kita tiada kuasa.
“Terima kasih tuan-tuan kerana tidak memilih untuk masuk gua dan membisu selepas kita kalah PRU14. Bila kita menang PRK, PRN Melaka dan PRN Johor, yang masuk gua sudah keluar gua, tapi tuan-tuan ini tetap setia kepada BN.
“Terima kasih kerana masih berbaju UMNO, tetapi mulut berbunga, maksudnya cakap macam parti bunga, Bersatu,” katanya berucap dalam Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu juga berterima kasih kepada perwakilan kerana di antara mereka yang meninggalkan parti ketika BN diuji dengan kekalahan.
“Terima kasih juga kerana tiada katak dalam kalangan kita, walaupun jenis katak itu tak begitu banyak di Selangor, dan ada katak yang lompat balik pun ada.
“Tapi tuan-tuan ini adalah tonggak dan tiang seri kepada BN,” katanya. – MalaysiaGazette