Aktiviti menjaring ikan warga emas bersama dua rakannya berakhir dengan tragedi apabila mati lemas di Pantai Morib dalam kejadian tengahari tadi.Ihsan gambar: IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Aktiviti hujung minggu seorang lelaki warga emas tempatan yang turun menjaring ikan bersama dua rakannya di Pantai Morib berakhir dengan tragedi apabila beliau ditemui lemas hari ini.

Mayat mangsa ditemui pengunjung pantai pada jam 12.15 tengahari.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridzwan Mohd Nor@Salleh berkata, ppihaknya menerima makluman awam mengenai penemuan mayat mangsa di Pantai Morib, Banting.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis diketuai oleh Ketua Polis Balai Banting, Inspektor Rosmimie Mirzal telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan hasil siasatan dapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun, bekerja sendiri dan datang ke pantai Morib bersama dua lagi rakannya dari Gombak bagi tujuan menjaring ikan.

“Semasa kejadian, ketiga-tiga mereka menjalankan aktiviti menjaring dengan berjalan kaki di pantai Morib di mana paras air ketika itu adalah lebih kurang pada paras bahu dan kesemua mereka telah berpecah haluan.

“Setelah lebih kurang 2 jam aktiviti itu dilakukan, rakan mangsa telah naik ke pantai namun tidak menemui mangsa yang mana kesemua mereka telah berjanji untuk berkumpul di sana selepas dua jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ketika mencari mangsa, kedua-dua rakan mangsa melihat orang ramai berkumpul dan memaklumkan bahawa terdapat orang mati lemas.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Banting untuk bedah siasat.

“Polis meneruskan siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui terhadap kematian mangsa.

“Pihak polis pada masa yang sama mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan mengambil langkah langkah keselamatan sewajarnya dalam menjalankan aktiviti di air terutamanya dilaut bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya. – MalaysiaGazette