MELAKA – Polis menahan 28 lelaki termasuk dua penjawat awam dan merampas wang tunai berjumlah RM11,000 ketika mereka sedang leka bermain judi laga ayam di sebuah kebun sekitar Duyong, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan jam 1.45 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah hasil risikan dilakukan sejak lima bulan lalu.

Ketika tangkapan, kesemua lelaki terbabit berusia 25 hingga 66 tahun itu yang sedang leka bertaruh, bertempiaran lari untuk melepaskan diri dengan meninggalkan wang tunai termasuk pelbagai peralatan digunakan dalam aktiviti haram itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, 28 individu ditahan itu terdiri daripada 26 lelaki tempatan termasuk dua penjawat awam berusia 40-an dan 60-an serta masing-masing seorang permastautin tetap dan warga Indonesia.

“Hasil risikan mendapati aktiviti judi ini mula bergiat aktif sejak lima bulan lalu yang dianjurkan pada setiap hujung minggu pertama dan keempat.

“Aktiviti judi diadakan antara jam 10 malam sehingga jam 4 pagi berdasarkan permintaan setempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kawasan kebun terbabit merupakan kawasan pedalaman tanah persendirian bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Hebahan sebelum aktiviti judi sabung ayam ini dibuat secara lisan dan kehadiran pengunjung juga terdiri daripada kenalan dan penduduk setempat.

“Jumlah tertinggi bagi sekali pertaruhan adalah sehingga RM550 dan angka terendah adalah RM110 dan keseluruhannya polis merampas RM11,000 dalam serbuan ini yang dipercayai adalah hasil wang pertaruhan,” katanya.

Christopher berkata, semua mereka yang dibebaskan dengan jaminan polis akan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 3 (1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962. – MalaysiaGazette