Saudara pengarang,
KEHILANGAN empati dan ihsan kelihatan semakin genting dalam masyarakat kita. Baru-baru ini masyarakat awam terkejut dengan kenyataan seorang berstatus ‘profesor’ yang menyanggah mudah keseriusan kos sara hidup dan inflasi dengan hujah ‘kalau mampu beli tiket konsert, jangan merungut kos sara hidup’. Kedengaran ringkas dan mantik, namun sangat anti akal. Seolah-olah komposisi masyarakat kita ini seragam tanpa perbezaan status ekonomi. Seolah-olah keluhan dan kesempitan ramai mereka yang begitu terkesan dengan kos sara hidup terbatal kerana ada segelintir masyarakat dilihat berpusu-pusu membeli tiket konsert di tengah-tengah bulan.
Sebelumnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tanpa segan silu meluluskan sebulat suara kenaikan gaji semua Menteri dan ADUN di negeri dengan rekod kemiskinan tegar antara paling tinggi tersebut. Inilah yang berlaku apabila golongan pemikir dan pemimpin memilih pendekatan ‘ambil mudah’ dan ‘asal boleh’ dalam mengeluarkan pandangan dan meneliti isu masyarakat.
Belum habis kita terkejut, masyarakat dihidangkan pula dengan tingkah pemimpin yang mengundang umpat dan kecam. Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap pengerusi Jawatankuasa Khas Jihad Inflasi, Tan Sri Anuar Musa dilaporkan telah menyelar desakan untuk memotong gaji para menteri dalam keadaan inflasi yang mencecah 3.4% sekarang ini. ‘Boleh kamu namakan satu negara yang dapat menurunkan kadar inflasi menerusi pemotongan gaji dan elaun menteri?, soalnya.
Tan Sri Anuar Musa, sejujurnya, saya tidak sedikit pun peduli akan pergeseran Tan Sri dengan rakan-rakan dalam parti Tan Sri. Tuding menuding dengan gelaran pembelot, jurucakap upahan Bersatu, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut. Itu bukan hal kami rakyat kebanyakan. Malah, saya juga sering tidak mengendahkan kritikan orang awam ke atas lagak dan gaya Tan Sri yang didakwa gemar memperaga penampilan berjenama dan mewah. Semua itu pilihan peribadi.
Yang saya kesalkan, kenihilan dan keniskalaan empati dan ihsan dalam diri Tan Sri. Saya benar-benar fikir inflasi itu fenomena yang mengurangkan nilai mata wang. Rupa-rupanya, ia turut mengikis nilai manusiawi. Ingatlah Tan Sri, empati dan ihsan itu bukan sahaja prasyarat menjadi pemimpin.Tapi asas menjadi manusia. Kalau pada Tan Sri, memotong gaji dan elaun menteri tidak mampu menurunkan inflasi, ketahuilah bahawa gaji dan elaun yang besar juga sebenarnya tidak pernah berkadar langsung dengan prestasi pemimpin di negara ini. Tan Sri itu nakhoda yang memimpin pasukan ‘jihad’, bukan kepala segerombolan manusia jahat. Antara jihad dan jahat itu, di tengah-tengahnya ada ihsan, ada Tuhan.
Jadi, tidak salah untuk rakyat di bawah mendambakan empati dan rasa ihsan dari pemimpin. Untuk memahami dan mempamerkan kebersamaan ketika kami sedang berperang dengan kesempitan dan tekanan hidup. Benar kami seboleh-bolehnya mahukan pemimpin yang bijaksana. Pandai mengurus, cekap mentadbir. Akan tetapi, apabila kebijaksanaan dan kepandaian itu bukanlah kualiti yang boleh ditawarkan oleh pemimpin hari ini, kami sekadar mengharapkan ada rasa empati di pihak pemimpin.
Walaupun sudah teramat kurang dan langka, empati dalam diri pemimpin masih sesuatu yang kami harap dan jangka. Belajarlah Berpura-pura. Saya sarankan untuk Tan Sri dan rakan-rakan menteri dan timbalan menteri yang menganggotai kabinet terbesar dalam sejarah negara untuk belajar berpura-pura. Ya, belajar berpura-pura.
Berpura-puralah mengasihani dan memahami denyut nadi masyarakat di bawah. Berpura-puralah untuk bekerja bersungguh-sungguh. Dan berpura-puralah mencari solusi yang baik untuk negara. Susunlah kamera dan mintalah jasa media untuk membentuk ilusi seperti itu. Setidak-tidaknya, kami akan ‘nampak’ bahawa pemimpin kami kononnya sedang bekerja dan ada bersama-sama dengan kami di bawah ini. Yang demikian itu jauh lebih tidak menyakitkan berbanding kenyataan angkuh yang tertalak dari realiti dan empati.
Mohd Daud Mat Din