Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kenaikan tarif air untuk premis komersial dikhuatiri akan menyebabkan satu lagi gelombang kenaikan harga.

Selain itu, pengusaha dobi juga dijangka menaikkan harga sehingga 25 peratus susulan kebenaran menaikkan tarif air yang diumumkan kerajaan.

Berikutan daripada  pengumuman kerajaan untuk membenarkan kenaikan kadar tarif air untuk premis komersial, Air Selangor telah mengumumkan kadar tarif baharu.

Berdasarkan perhitungan, tarif air untuk premis komersial dinaikkan kira-kira 25 peratus. Dengan kata lain, jika bayaran sebelum ini adalah RM2,000 sebulan, ia akan menjadi RM2,500 selepas ini.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, Datuk Soh Thian Lai berkata, selain Selangor, negeri-negeri lain belum diketahui sama ada akan menaikkan tarif air selari dengan pengumuman Persekutuan.

Beliau memberitahu China Press, kenaikan tarif air hanya mengeruhkan persekitaran perniagaan yang sangat mencabar pada masa ini.

“Pengeluar tempatan berdepan tekanan yang besar termasuk inflasi, gaji minimum, kekurangan tenaga kerja, kos pengangkutan yang meningkat, kelemahan ringgit dan rantaian bekalan global yang terjejas.

“Keadaan yang tidak menentu berterusan disebabkan oleh perang berterusan yang berlaku antara Ukraine dan Rusia,” katanya.

Beliau berkata, masa ini bukan masa yang sesuai untuk menambahkan kos perniagaan dan rancangan kenaikan tarif air seelok-eloknya ditunda ke 2023, atau apabila keadaan inflasi mula lega.

“Jika kerajaan tetap mahu menaikkan kos perniagaan, kos itu mungkin ditelan oleh peniaga untuk menghadapi persaingan yang sengit atau mengalihkan tambahan kos itu kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Dobi Malaysia, Wei Kun berkata, harga perkhidmatan dobi di Lembah Klang dijangka naik 25 peratus selari dengan kenaikan tarif air.

Beliau berkata, ahli-ahli persatuan sebelum ini telah menaikkan harga selari dengan pelaksanaan gaji minimum.

Katanya, susulan kenaikan tarif air pula, kenaikan harga seterusnya dijangka tidak akan melebihi 25 peratus.

“Pihak persatuan masih mengumpulkan maklum balas. Jika harga diselaraskan, sumber pelanggan mungkin terjejas, tetapi jika tidak dinaikkan, pengusaha pula akan menghadapi tekanan,” katanya kepada China Press. – MalaysiaGazette