Penulis ketika berada di Gunung Kinabalu,

MENDAKI merupakan satu cara untuk mendekatkan diri anda dengan dunia alami. Hanya berbekalkan diri sendiri dan satu backpack kita dapat menemui keindahan semula jadi dan lari dari rutin hakiki dan kesibukan harian. Hanya dengan sedikit persiapan dan persediaan, ia menjadi suatu aktiviti yang boleh dilakukan oleh hampir semua orang. Kebelakangan ini aktiviti mendaki memang telah menjadi satu fenomena dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai program mendaki telah dianjurkan sama ada oleh pihak persendirian, organisasi mahupun syarikat yang mengendalikan aktiviti lasak.

Pendaki-pendaki baharu yang mula berjinak dengan aktiviti mendaki ini juga dilihat semakin bertambah. Persoalannya adakah mereka ini bersedia dengan setiap pendakian yang akan dijalankan atau atau hanya mengikut trend semasa tanpa sebarang persediaan rapi? Sebagai persediaan, di sini penulis kongsikan sedikit tip untuk pendaki yang baharu berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian.

Pertama, sebagai pendaki baharu anda digalakkan untuk mendaki bersama rakan-rakan pendaki yang telah lama melakukan aktiviti ini. Mereka ini kebanyakannya sangat suka berkongsi pengalaman dengan pendaki baharu. Jika tiada rakan yang telah mendaki, anda boleh menjalankan aktiviti pendakian anda dengan mana-mana kelab mendaki yang pastinya mempunyai pengalaman luas.

Yang kedua, mulakan pendakian anda dengan ‘trail’ yang mudah dan sesuai dengan tahap kecergasan sendiri. Sebagai pendaki baharu, pastikan anda memulakan pendakian anda dengan ‘trail’ untuk pendaki permulaan yang lebih dekat jaraknya dan tidak memakan masa yang terlalu lama. Selepas anda membiasakan diri dengan jarak yang dekat, barulah anda akan dapat mengena lpasti pace dan style pendakian anda.

Ketiga, membuat persiapan mental dan fizikal. Walaupun anda akan mendaki di trail yang mudah, tetapi persiapan fizikal dan mental juga tidak boleh dilupakan. Dengan mental yang kuat, anda tidak akan mudah panik jika berlaku sebarang kecemasan semasa pendakian. Selain itu, pastikan anda membuat rutin larian atau pun lain-lain olahraga agar otot dan organ pernafasan anda tidak terkejut ketika mendaki.

Sekurang-kurangnya rutin ini akan membiasakan diri anda ketika mula mendaki. Sebelum memulakan pendakian juga, anda digalakkan untuk membuat sedikit senaman ringan pemanasan badan untuk mengelakkan otot menjadi kejang selepas memulakan pendakian.

Keempat, maklumkan tentang pendakian anda. Pastikan anda memberitahu perjalanan pendakian anda kepada keluarga atau rakan-rakan terdekat. Ini untuk memastikan mereka peka dengan jangkaan masa sampai anda di tapak permulaan dan akan menghubungi anda mahupun pihak berkuasa jika dikhuatiri ada sebarang kecemasan di sepanjang pendakian.

Kelima, kenal pasti keperluan air dan makanan anda. Sebagai pendaki baharu, adalah agak sukar untuk mengenal pasti keperluan air dan makanan anda. Ini kerana, keperluan air dan makanan ini adalah bergantung kepada individu. Secara puratanya digalakkan membawa sekurang-kurangnya 1.5 liter air bagi pendakian 2 hingga 3 jam bergantung kepada keadaan cuaca.

Manakala, bagi makanan sekurang-kurangnya 200-300 kalori diperlukan dalam masa satu jam. Semestinya keperluan ini bergantung kepada beberapa faktor seperti cuaca, intensiti pendakian, umur serta kecergasan pendaki.

Keenam, bawa peralatan yang bersesuaian. Persiapan dari segi pakaian, kasut dan peralatan perlulah bersesuaian. Semua ini perlu dibawa bergantung kepada lokasi pendakian, jarak pendakian, cuaca serta adakah pendakian ini bermalam atau hanya harian sahaja.

Sebagai contoh, untuk trail yang pendek dan pendakian sehari, kapasiti bag yang diperlukan hanyalah 15 hingga 20 liter sahaja yang mana ia sesuai untuk diisi dengan air, sedikit makanan dan baju hujan serta ubatan. Manakala jika perjalanan yang lebih panjang atau bermalam memerlukan bag antara 30 hingga 70 liter bergantung kepada berapa hari anda akan berada di trek.

Ketujuh, mendaki mengikut pace kita sendiri. Sebagai pendaki baharu, anda perlu mengikut langkah atau pace sendiri terutamanya jika anda tidak biasa dengan aktiviti-aktiviti fizikal. Jika anda mengikut langkah pendaki lain yang lebih laju, tidak mustahil anda akan kepenatan di pertengahan pendakian.

Melangkah mengikut pace sendiri akan membantu membina ketahanan anda serta membiasakan anda dengan pendakian tersebut sedikit demi sedikit sehinggalah sampai ke puncak. Inilah sedikit sebanyak tip yang penulis dapat dikongsikan. Semoga dapat membantu dan memberi sedikit gambaran kepada pendaki baharu tentang persediaan sebelum mendaki.
Selamat Mendaki!!

 

Munirah Mohd Yusof
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)