KUALA LUMPUR – Pesawat yang terhempas dan mengorbankan jurulatih penerbangan dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji, berdekatan Medan Gopeng, Ipoh, Perak.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang mengesahkan insiden tersebut berkata, pesawat tersebut adalah jenis Piper 28-161 dengan pendaftaran 9M-BAA dan dikendalikan BATS Aviation Sdn Bhd.
Menurut CAAM, pesawat latihan itu terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada Isnin dan Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 malam.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo berkata, satu siasatan lanjut akan dimulakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara untuk mengetahui punca kemalangan itu.
- Artikel berkaitan: Jurulatih penerbangan maut, seorang cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh
“Hasil pemeriksaan lanjut, seorang juruterbang maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan sedang menerima bantuan perubatan,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau amat sedih dengan perkembangan terkini kejadian pesawat ringan yang terhempas di Ipoh itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.