KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Datuk Seri Najib Razak cuba memutar belit isu beliau menerima RM2.6 juta dari syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dengan menyamakan dana sebanyak RM2.6 billion yang pernah dimasukkan dalam akaun Ahli Parlimen Pekan itu.
Sedangkan, dakwa Mahathir, sehingga hari ini Raja Arab itu tidak wujud atau tampil membuktikan kenyataan Najib.
Bahkan, dua mahkamah dan empat hakim telah mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC, sebuah anak syarikat 1MDB.
”Najib juga sedang dibicara di dalam mahkamah berkaitan kes 1MDB di atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk peroleh suapan berjumlah RM2.3 billion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 billion tersebut.
”Kesemua aliran wang tersebut ada paper trail dan digital footprint dan kesemuanya terkait dengan Najib,” katanya.
Mahathir menambah, isu wang ini berbeza dengan kenyataan David Tan dari UKSB di dalam mahkamah yang mana wang itu diberi melalui anak saudaranya, Tan Sri Rahmat dan bukan kepada beliau.
”Tidak ada bukti duit masuk akaun saya atau saya terima duit itu atau David Tan melihat duit itu diserah pada saya.
”Yang ada hanyalah kenyataan David Tan yang bersandar pula kepada ledgernya digelar Buku 555,” tambah Mahathir sambil menambah Rahmat telah menafikan telah menyerah wang tersebut kepadanya.
Bahkan, Rahmat menjelaskan wang RM1.3 juta yang diterimanya itu adalah imbuhan untuk jawatan sebagai Pengerusi dan penasihat UKSB.
Malah, Rahmat telah letak jawatan di UKSB tidak lama kemudian dan menyerahkan kembali wang RM1.3 juta itu. Beliau mempunyai surat dan dokumen apa yang dinyatakannya.
Mahathir menegaskan, beliau memang tidak pernah menerima duit tersebut dan perkara itu amat mudah difahami dan Najib juga faham.
Namun, Ahli Parlimen Langkawi ini mendakwa Najib berpura-pura tidak faham kerana dengan itu beliau terus berbohong dan menipu untuk menutup kesalahannya yang menyamun wang rakyat.
”Malangnya, dengan berpura-pura bodoh, Najib dapat terus perbodohkan penyokongnya,” dakwanya. – MalaysiaGazette