Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 132 laporan polis tentang kes penipuan pakej haji furada membabitkan kira-kira 380 bakal jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga 31 Julai melibatkan kerugian berjumlah RM5.67 juta.

Setiausaha Polis PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, setakat 19 Julai lalu sebanyak 121 kes laporan polis telah diterima membabitkan pembukaan 22 kertas siasatan serta nilai kerugian berjumlah RM5.17 juta.

“Dalam pada itu siasatan masih diteruskan membabitkan laporan polis yang diterima di negeri-negeri lain yang terlibat kes ini,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Tipu jemaah haji: 5 individu termasuk pemilik agensi pelancongan direman

Haji furada: Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini

Lima individu kes tipu bakal jemaah haji direman di Johor

Tambah beliau, kertas siasatan membabitkan kes penipuan itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Jelasnya, kesemua lima suspek, iaitu pemilik agensi pelancongan bersama isterinya, seorang ejen dan dua pekerja, telah ditahan dan sedang disiasat polis dan mereka akan didakwa di mahkamah.

Mengikut pecahan, Noorsiah berkata, sebanyak 52 laporan polis dilakukan di Kuala Lumpur diikuti Selangor (33 laporan), Pahang (18 laporan), Johor (7), masing-masing enam kes di Kelantan dan Perak, tiga kes di Melaka dan Kedah, dua kes di laporkan di Terengganu dan masing-masing satu kes direkodkan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Katanya, lima kertas siasatan telah dibuka di Selangor dan Johor disusuli tiga kertas siasatan di Perak manakala masing-masing dua kertas siasatan membabitkan Kuala Lumpur, Kelantan serta Kedah dan masing-masing satu kertas siasatan dibuka di Pahang, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Dari segi nilai kerugian penipuan pakej haji mengikut negeri, Kuala Lumpur mencatatkan kerugian berjumlah RM2.32 juta diikuti Pahang (RM1.25 juta), Selangor (RM966,100), Kelantan (RM280,000), Melaka (251,000), Johor (RM226,000), Perak (RM203,000), Terengganu (RM76,000), Kedah (RM48,000), Pulau Pinang (32,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000). -MalaysiaGazette