Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk pemilik agensi pelancongan swasta yang ditahan berhubung insiden hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Khamis lalu telah direman oleh polis.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua suspek berkenaan diserahkan oleh polis Kuala Lumpur kepada Polis Kontinjen Selangor hari ini untuk siasatan lanjut.

“Kesemua suspek yang ditangkap dalam kes ini termasuk pemilik agensi pelancongan itu dan juga isterinya telah dipohon perintah reman.

“Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 12 Julai ini berjaya diperoleh  untuk kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi  meneruskan siasatan dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah haji terkandas: Pemilik agensi pelancongan antara 5 diberkas polis

Jemaah haji terkandas: Polis terima 57 laporan, kerugian RM2.3 juta

Haji: Polis Wangsa Maju terima 18 aduan ditipu agensi pelancongan

Semalam MalaysiaGazette melaporkan seramai lima individu telah berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan kerana disyaki berkait dalam isu hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA Sepang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah menerusi satu kenyataan mengesahkan mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan yang diadakan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Dang Wangi di beberapa lokasi sekitar ibu negara kira-kira jam 9 malam, Jumaat lalu.

“Kesemua lima individu yang ditahan itu adalah pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi itu.

Agensi ini terletak dan beroperasi di Danau Kota, Wangsa Maju.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihak Bukit Aman telah menerima sebanyak 57 laporan membabitkan kerugian berjumlah lebih RM2.3 juta di lapan negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan.

Sementara itu pada 7 Julai lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji yang mahu mengerjakan haji ke Mekah telah ditemui terkandas di KLIA di Sepang.

Kesemua jemaah haji itu berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH. – MalaysiaGazette