PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak akan mengikut acuan dari negara lain yang berdepan dengan pelbagai ancaman keselamatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebaliknya latihan khidmat negara itu akan memberi lebih tumpuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
“Sesetengah negara ada latihan khidmat negara kerana ada ancaman seperti Korea Selatan dan Korea Utara atau Taiwan
“Kita tidak ada ancaman begitu, tetapi kita ini ada cabaran dari segi hendak memupuk masyarakat majmuk di dalam negara dan sebagainya.
“Jadi, kita ikut cara kitalah. Kita tidak seperti Korea Utara dan Korea Selatan, jadi kita buat cara kita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Latihan Nasional (PUSPAHANAS).
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mencadangkan supaya kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0.
PLKN 3.0 akan bermula 12 Januari 2025, membabitkan pengambilan seramai 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ia membabitkan latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun 2024.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya kini menerima lebih 300 permohonan untuk mengikuti latihan khidmat negara itu yang membabitkan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus berkaitan kenegaraan.
“Selain kawad dan latihan ketenteraan, turut akan diberi penekanan adalah soal disiplin, kepimpinan, kefahaman mengenai latar belakang negara dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette