BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmennya untuk menghentikan amalan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli politik dan pegawai kerajaan yang menjadikan kedudukan mereka untuk mengumpul kekayaan.
Jelas beliau, dasar kerajaan Madani di bawah pimpinannya akan memastikan setiap pelanggaran integriti akan disiasat secara telus, tanpa mengira kedudukan atau status individu terlibat.
“Insya-Allah.. saya akan bawa dasar agar negara kita ini menghentikan orang politik atau pegawai kerajaan yang guna kuasa dia kumpul kekayaan.
“Tidak ada sesiapa yang akan terkecuali. Kita mesti menegakkan keadilan termasuk dalam kes kehilangan hasil negara bernilai berbilion ringgit… Ini bukan soal dendam tetapi tanggungjawab terhadap rakyat dan agama,”katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang di sini, hari ini.
Tambah Anwar, dalam menguruskan negara seseorang itu perlulah bersih, telus dan menggunakan kuasa untuk membela rakyat yang memerlukan berbanding mempertahankan golongan maha kaya.
“Ada ahli politik cakap di kampung bela orang Melayu tapi apa yang ditunjukkan di parlimen tak sama mereka lebih mempertahankan golongan maha kaya..jadi dalam kerajaan saya kita tak mahu perkara sebegini, kita pertahankan rakyat dan bina masa depan negara yang berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette