Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Wangsa Maju menggesa mana-mana orang yang telah menjadi mangsa penipuan dalam urusan mengerjakan haji dengan syarikat pelancongan swasta agar segera tampiluntuk membolehkan siastan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan laporan terawal diterima pihaknya dari seorang mangsa yang mendakwa tertipu dalam urusan mengerjakan haji di kawasan Setapak membabitkan kerugian RM35,000.

Setakat ini, pihaknya juga telah menerima sebanyak 18 aduan daripada mangsa  dan terbaharu pada pada 7 Julai lalu pukul 9.29 malam.

“Rentetan aduan itu, polis membuka satu kertas siasatan yang kini disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Siasatan awal mendapati pengadu telah berurusan dengan suspek dari satu agensi pelancongan di di Taman Danau Kota dan telah membuat pembayaran sebanyak RM35,000 ke akaun bank atas nama agensi pelancongan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ashari, setelah bayaran dibuat, syarikat agensi pelancongan tersebut sering menunda tarikh penerbangan dari tarikh asal yang ditetapkan.

Namun, katanya, pada Khamis lalu, mangsa telah pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mendapati tiada sebarang tempahan tiket penerbangan ke Mekah atas namanya.

“Setelah mangsa tiba di KLIA, tiada sebarang pemakluman atau apa-apa alasan daripada pihak agensi pelancongan tersebut dan tiada juga sebarang wakil dari pihak agensi tersebut tampil bagi menjelaskan perkara berkaitan permasalahan yang dialami oleh mangsa.

“Setakat ini jumlah laporan polis yang diterima bagi Wangsa Maju sebanyak 18 laporan dengan membabitkan jumlah kerugian setakat ini adalah sebanyak RM683,500,” ujarnya.

Kemudian, menurutnya, polis telah membuat tangkapan terhadap lima orang suspek iaitu dua lelaki dan tiga wanita yang dalam lingkungan umur 28 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

“Kes masih lagi dalam peringkat siasatan dan pihak polis menyeru mana-mana orang yang menjadi mangsa dalam kejadian ini tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette