KOTA BHARU – Polis menerima 94 laporan penipuan “tiga penjuru” berkaitan pembelian barangan dalam talian hingga 15 Sept lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata daripada jumlah itu, 75 laporan melibatkan pembeli yang menjadi mangsa penipuan, manakala 19 lagi membabitkan penjual yang iklan barangan mereka digunakan oleh penjenayah.
Beliau berkata sebanyak 66 kertas siasatan dibuka, dengan Tumpat mencatat jumlah laporan tertinggi, iaitu 35, diikuti Kota Bharu sebanyak 22 laporan.
“Modus operandi penjenayah ‘tiga penjuru’ ini ialah mengambil atau menggunakan maklumat iklan barangan milik penjual sebenar sebelum berurusan dengan pembeli seolah-olah barangan berkenaan miliknya.
“Pembeli kemudiannya diarahkan membuat pembayaran ke akaun penjenayah menyebabkan mereka mengalami kerugian dan penjual sebenar pula terheret dalam urusan yang tidak diketahuinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara barangan yang direkodkan dalam laporan berkenaan ialah motosikal, kereta, kenderaan pacuan empat roda dan telefon bimbit.
Mohd Yusoff berkata siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan menangkap semua suspek yang terlibat.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat bayaran, khususnya apabila berdepan dengan tawaran harga yang terlalu murah.
“Pastikan identiti penjual, pemilikan barangan dan akaun penerima bayaran benar-benar sepadan sebelum meneruskan transaksi.
“Mangsa yang baru sahaja melakukan transaksi dan menyedari telah ditipu hendaklah segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 serta membuat laporan polis,” katanya. – BERNAMA
















