Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi.

Tambahnya, semua jawatankuasa diminta untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang sedang berkuat kuasa.

Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM merangkumi tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius amaran Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) berkenaan hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga 11 Disember 2024 di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KPM, prosedur standard operasi Ops Payung telah diaktifkan bagi membantu calon-calon terjejas banjir untuk menghadiri Ujian Amali Sains, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 9, 10 dan 12 Disember ini.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon yang terjejas.

KPM katanya, komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast