Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah menerima 57 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan yang mengakibatkan hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini Khamis lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, jumlah laporan itu membabitkan kerugian lebih RM2.3 juta.

“Bukit Aman setakat ini telah menerima sebanyak 57 laporan polis di lapan negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh agensi pelancongan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia membabitkan 25 laporan di Selangor; 23 (Kuala Lumpur); empat (Pahang) dan masing-masing satu laporan di Pulau Pinang; Perak; Negeri Sembilan; Johor serta Terengganu.

Tambah Noorsiah, jumlah kerugian paling tinggi direkodkan adalah di Pahang iaitu RM874,000 diikuti Kuala Lumpur (RM765,500) dan Selangor (RM620,000).

Selain itu, Terengganu dilaporkan mencatatkan kerugian RM38,000; Pulau Pinang (RM32,000); Perak (RM25,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000).

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan polis telah menahan lima individu termasuk pemilik agensi pelancongan dan isterinya semalam kerana disyaki terlibat insiden hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA kelmarin.

Kesemua individu terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara kira-kira 9 malam tadi.

“Kesemua individu yang ditahan itu adalah pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

Semalam, media melaporkan ira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA di Sepang dan mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH. – MalaysiaGazette