Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Sidang Khas Parlimen di dalam Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahahtir Mohamad mencadangkan agar larangan merokok diperluaskan kepada semua pihak di negara ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berkata, pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 tidak harus dihadkan kepada individu yang lahir pada 2007 dan selepas itu.

“Hentikan merokok untuk semua orang, bukan yang lahir pada 2007 sahaja, tetapi ini adalah satu kerja yang amat besar dan berat.

“Mungkin kita tidak dapat lakukan dengan cara yang berkesan, sebab itu dalam apa juga jenis undang-undang yang kita perkenalkan ada kalanya kita perlu membuat satu langkah demi langkah,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam RUU berkenaan perlu dikaji dengan lebih mendalam dan dipinda supaya ia lebih ketat untuk dilaksanakan pada masa depan.

“Kalau kita hadkan kepada umur yang lahir pada 2007 tidak lama lagi mereka ini akan berumur lebih daripada itu dan akhirnya kita dapat kurangkan sedikit demi sedikit amalan menghisap rokok.

“Kalau kita bercita-cita besar, nak lihat sekaligus kita hentikan semua orang daripada merokok, saya ingat kita mungkin dapat kutip cukai yang banyak daripada denda yang dikenakan.

“Saya dapati tidak mudah untuk dilaksanakan dan beri kuasa kepada penguatkuasa dan kuasa itu menyeluruh,” katanya yang menyokong tindakan kerajaan untuk menggubal RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar  di Dewan Rakyat yang antara lain menggubal peruntukan generasi penamat bagi melindungi golongan muda Malaysia daripada terjebak dengan tabiat merokok. – MalaysiaGazette