KUALA LUMPUR – Penganjuran pesta arak Oktoberfest bukan sahaja tidak sesuai bahkan mencabar kedudukan Islam di negara ini.
Demikian kata Ahli Jawatankuasa Pas pusat, Nasrudin Hassan menerusi kenyataan hari ini yang menganggap apabila pesta arak dianjurkan bermakna ia merupakan satu promosi dan galakan kepada masyarakat.
“Apabila arak difestivalkan acara meminumnya di dalam negara ini, ia bererti satu promosi dan galakan kepada masyarakat Malaysia untuk minum arak.
“Sementara Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Islam adalah agama negara. Maka sudah barang tentu bahawa festival arak tersebut bukan sahaja tidak sesuai bahkan sangat mencabar kedudukan Islam sebagai agama negara,” katanya.
Tambah beliau, dari sudut agama Islam, arak bukan sahaja minuman yang mengundang kemudaratan bahkan dalam masa yang sama berpotensi merosakkan juga tamadun negara.
“Bahkan arak itu sendiri menjadi pembuka pintu masuk kejahatan dalam negara ini. Kejahatan yang dihasilkan mampu meruntuhkan peradaban manusia dan tamadun negara kita,” katanya lagi.
Oktoberfest merupakan festival tahunan yang berasal dari Munich, Jerman yang diadakan dalam tempoh dua minggu dan berakhir pada Ahad pertama pada bulan Oktober.
Malaysia juga tidak ketinggalan turut mengadakan festival itu bermula sejak beberapa tahun yang lalu.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, walaupun Islam tidak menghalang penganut selainnya minum arak namun tidak sesuai ia seolah-olah diraikan secara besar-besaran di dalam negara ini menerusi Oktoberfest.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad menyatakan bahawa Oktoberfest tidak sepatutnya dibenarkan diadakan di negara ini berikutan perayaan Bon Odori baru-baru ini menimbulkan pertikaian pelbagai pihak.-MalaysiaGazette