Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) bergambar bersama Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman (kanan) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menepis dakwaan ahli-ahli Parlimen pembangkang bahawa beliau melindungi timbalannya, Datuk Rashid Hasnon.

Azhar Azizan membuat keputusan berhubung peraturan yamg dibangkitkan Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai keputusan Rashid yang menggantung Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) selama dua hari pada minggu lalu.

“Jangan tuduh saya melindungi (Rashid), saya tidak pernah melindungi. Saya mengaku silap saya, saya sudah dengar. Cukup Kulai,” ulasnya mengenai desakan pembangkang bahawa Tajuddin telah hadir di Dewan Rakyat semasa sesi undian Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dibawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari itu.

Terdahulu, Nie Ching mendakwa Azhar Azizan tak perlu melindungi timbalannya.

Sebelum ini, ahli-ahli pembangkang menuduh Rashid  mengelirukan dewan kerana arahan menghalau Tajuddin tidak ada dalam hansard Dewan Rakyat.

Terdahulu Azhar Azizan mengakui tidak tahu menahu mengenai tindakan Rashid yang menggantung kehadiran Tajuddin selama dua hari kerana tidak mengikut perjalan dewan pada hari tersebut.

“Saya telah merujuk perkara ini kepada timbalan speaker dan saya juga telah meneliti hansard pada hari tersebut dan hari berikutnya, insiden Tajuddin diarahkan keluar oleh Rashid telah berlaku pukul 12.30 tengahari pada 20 Julai.

“Saya sebenarnya tidak dimaklumkan oleh timbalan mengenai keputusan Tajuddin diarahkan keluar dewan dan telah digantung selama dua hari.

“Selalunya saya akan melihat tapi pada hari itu saya ada mesyuarat ketika insiden itu berlaku. Saya tidak tahu langsung mengenai apa yang berlaku. Saya juga tidak tahu Tajuddin ada mengundi semasa usul pada 20 Julai padahal beliau sudah digantung pada tempoh tersebut.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai penggantungan tersebut dan sekiranya saya tahu sudah tentu saya tidak akan membenarkan Tajuddin masuk ke dewan,” katanya menerangkan perkara tersebut.

Oleh yang demikian, Azhar Azizan membuat keputusan undian belah bahagian dipinda semula dengan menggugurkan undian daripada Tajuddin.

“Daripada 105 bersetuju kepada 104 bersetuju dan tidak hadir dipinda daripada 32 kepada 33 manakala undi tidak bersetuju masih kekal 83 undi,” jelas Azhar Azizan lagi.

Beliau membuat keputusan itu setelah sesi pembentangan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2022 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Nie Ching membangkitkan keputusan Rashid yang menggantung Tajuddin selama dua hari.

Tajuddin selepas itu bangun dan menerangkan bahawa dirinya tidak dihalau daripada sesi Dewan Rakyat namun secara sukarela keluar daripada dewan kerana ada urusan.

“Saya tidak diarah keluar saya keluar secara sukarela sebab saya tak nak keadaan jadi kecoh. Saya ada tugas lain di luar sana itu sebab saya tinggalkan dewan tetapi boleh ditafsirkan saya diarahkan keluar, itu tidak benar.

“Tetapi bila timbalan speaker cakap beliau telah arahkan saya keluar, digantung selama dua hari, saya malas nak berhujah lagi. Saya tidak mahu buang masa dewan, jadi apa yang dikatakan Rashid, saya diamkan sahaja,” kata Tajuddin.

Nie Ching semalam berkata, Rashid memaklumkan pada minggu lalu menggantung Tajuddin selama dua hari iaitu 20 dan 21 Julai.

Bagaimanapun, Teo berkata, berdasarkan hansard pada 20 Julai, menunjukkan Tajuddin masih masuk ke Dewan Rakyat dan namanya juga terlibat dalam perbahasan dan undian usul membatalkan keputusan tolak lanjut tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). – MalaysiaGazette