Bubu naga itu dikesan selepas anggota APMM melihat pelampung penanda yang mencurigakan.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang merampas sebanyak 23 set bubu naga di dua lokasi berasingan di sekitar perairan negeri semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua bubu naga itu dirampas ketika pihaknya melakukan rondaan Op Pertiwi pada pukul 2.03 petang di kedudukan lebih kurang 1.7 batu nautika barat Penaga.

“Kita kesan pelampung penanda yang mencurigakan di dua lokasi berkenaan sebelum menemui 23 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan nilai RM2,760 dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

APMM Pulau Pinang rampas 23 bubu naga ketika melakukan rondaan di perairan barat Penaga, semalam.

Tambah beliau, bubu naga diharamkan penggunaannya di laut kerana sifat yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang maklumat, aduan serta kecemasan di laut dengan hubungi APMM di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146,” jelas beliau. – MalaysiaGazette