Suasana latihan DBT kepada para guru di Kudat.

KOTA KINABALU – Seramai 30 guru kaunseling sekolah menengah dan sekolah rendah di Kudat menerima latihan Terapi Tingkah Laku Dialektikal (DBT) daripada Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi HUMS Dr Nicholas Pang berkata, latihan itu diberikan bersempena Program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), sebuah program di bawah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama UMS.

”DBT merupakan intervensi psikologi yang mempunyai keberkesanan saintifik bagi mengurangkan pemikiran ingin membunuh atau mencederakan diri sendiri.

”Ia bagi membendung masalah kesihatan mental terutamanya dalam kalangan remaja ataupelajar sekolah yang merupakan salah satu kumpulan berisiko tinggi,” katanya.

Menurut Nicholas, HUMS percaya bahawa kelestarian adalah asas kepada perkhidmatan kesihatan yang berkesan.

Justeru, usaha untuk memindahkan pengetahuan dari HUMS kepada guru-guru kaunseling di Kudat ini mampu memperkasakan mereka untuk memberi intervensi kepada pelajar di sekolah masing-masing.

Nicholas Pang

”Sebelum ini, intervensi hanya boleh dilakukan di hospital yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Namun, DBT yang berpusatkan sekolah adalah jauh lebih lestari berbanding DBT berpusatkan HUMS atau hospital-hospital lain. Ia diharapkan dapat memainkan peranan sebagai “pencegahan primer” untuk para remaja di daerah berkenaan,” katanya.

Ia secara tidak langsung turut meningkatkan taraf kesihatan mental di seluruh daerah Kudat serta mampu menangani pandemik kesihatan mental yang kini melanda seluruh sekolah di Malaysia.

Untuk makluman, kesemua guru yang terlibat dilatih dalam kemahiran DBT secara dalam talian selama lima sesi berturut-turut.

Latihan ini turut melibatkan pensyarah jemputan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Melissa Hadi.

Sementara itu, Nicholas menambah, HUMS berkolaborasi dengan Monash Universiti Melbourne cawangan Kuala Lumpur untuk mengadaptasi intervensi DBT kepada kebudayaan serta diterjemah ke bahasa Melayu.

“Ini merupakan satu projek jangka waktu panjang yang melibatkan penterjemahan semua bahan intervensi serta skrip dialog intervensi. “Ia juga merangkumi, uji cuba dalam kumpulan sasaran serta penganjuran program Training of Trainers,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast