Operasi Bersepadu Pemotongan Bekalan Elektrik oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Melaka bersama TNB di Taman Semabok Perdana, di sini hari ini.

MELAKA – Sebanyak 100 premis yang menjalankan kegiatan perjudian di seluruh negeri ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, jumlah untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini itu melibatkan 65 premis di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (17) dan 18 premis bagi daerah jasin.

“Kebanyakan premis yang diserbu itu adalah rumah kedai yang dipercayai disewa oleh sindiket judi dalam talian dan pernah beberapa kali diserbu oleh pihak polis.

“Premis-premis ini dikesan menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dengan berselindung di sebalik perniagaan barangan telefon bimbit bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan polis juga mendapati kesemua premis tersebut pernah diserbu beberapa kali sebelum ini namun pemilik dan penjaga masih berdegil sehingga kita terpaksa mengambil langkah memotong bekalan elektrik mereka,” katanya.

Meng Seah (kanan) melihat Operasi Bersepadu Pemotongan Bekalan Elektrik oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Melaka bersama TNB di Taman Semabok Perdana, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas Operasi Bersepadu Pemotongan Bekalan Elektrik oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Melaka bersama TNB di Taman Semabok Perdana, di sini hari ini.

Operasi diketuai Ketua JSJ Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah melibatkan
28 pengawai dan anggota polis serta tujuh pegawai TNB.

Mengulas lanjut Zainol berkata, selain itu, Polis Melaka juga bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat laman-laman sesawang perjudian daripada dilayari oleh pengunjung.

“Polis Melaka tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perjudian dan konsisten membanteras aktiviti ini daripada berleluasa,” tegasnya.

Tambahnya, tindakan pemotongan bekalan eletrik itu dibuat mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) bertujuan mengelakkan premis terbabit aktif semula dan terus menjalankan aktiviti perjudian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast