Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menyiasat Ketua Setiausaha dan Menteri Pertahanan sejak 2010 kerana dipercayai bertanggungjawab membuat keputusan dalam perolehan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan kegagalan Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk menyiapkan lima unit LCS meskipun sudah mendapat bayaran berjumlah RM6.08 bilion.

“Menteri Pertahanan dan ketua setiausaha ketika itu mesti dipanggil dan disiasat, minta keterangan daripada mereka, bukan setakat pengurusan di bawah, CEO sahaja dipanggil.

“Saya tidak percaya projek berkos lebih RM6 bilion itu hanya diputuskan di peringkat bawah pengurusan, mesti diputuskan oleh menteri kerana melibatkan kos keseluruhan kepada negara berjumlah RM9.1286 bilion

“Saya tuntut SPRM segerakan siasatan ini dan jangan lengahkan kemudian kita sama-sama lupa,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mendedahkan BNS masih gagal menyerahkan walaupun sebuah LCS kepada kerajaan walaupun telah menerima bayaran RM6.08 bilion.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, BNS yang diberikan projek itu secara rundingan terus perlu menyiap dan menyerahkan lima unit kapal itu, selewat-lewatnya Ogos ini.

Kah Woh mendedahkan perkara itu ketika membentangkan laporan PAC berhubung perkembangan perolehan LCS TLDM dengan nilai kontrak sebanyak RM9.1286 bilion antara 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023.

Dalam pada itu, Anwar juga mendesak kerajaan menghentikan projek rundingan terus itu untuk fasa keenam yang bernilai RM571 juta dan dana awam boleh dimanfaatkan golongan berpendapatan rendah khususnya veteran tentera.

“Kita syorkan supaya dihentikan, ia melibatkan setengah bilion ringgit dan wang ini patut disalurkan kepada rakyat untuk menangani masalah kos sara hidup ataupun kebajikan veteran dan tentera yang sekarang ini tertekan.

“Bila tanya kerajaan, wang tidak ada, tapi wang sebanyak ini yang melibatkan ketirisan, kebocoran dan saya percaya rasuah.

“Sebab itu saya gesa kerajaan tuntut untuk fasa berikutnya komited setengah bilion sekurang-kurangnya mesti dihentikan. Ini sudah belanja RM6.08 bilion.

“Wang setengah bilion ini harus dimanfaatkan veteran tentera yang sekarang banyak membuat tuntutan daripada Kementerian Pertahanan dan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast