Tan Boon Jin mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan rusuhan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan tujuh tahun lalu.

MELAKA – Seorang pemuda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rusuhan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan tujuh tahun lalu.

Tertuduh Tan Boon Jin, 25, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Penolong Kanan Pendaftar Siti Khairiah Abdul Razak.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 22 Ogos ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama individu yang masih bebas didakwa merusuh sehingga mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata di tepi jalan berhadapan Restoran Kitchen Delight di Jalan Cheng Baru, kira-kira jam 9 malam, 2 September 2015.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh yang bekerja sebagai penjual buah-buahan di Singapura.

Tertuduh yang diwakili peguam, Kent Tan Chiw Teng bagaimanapun merayu ia dikurangkan kepada RM1,000 dengan mengambil kira anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan kes.

Siti Khairiah pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM1,000 terhadap tertuduh sementara menunggu fakta kes dan hukuman 22 Ogos ini. – MalaysiaGazette