Saudara Pengarang,
Kementerian Kesihatan telah pun bersetuju agar Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, atau lebih dikenali sebagai undang-undang GEG, dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.
Ini satu langkah yang bijak. Banyak isu telah dibangkitkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dalam perbahasan peringkat dasar RUU ini. Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial adalah wadah yang sesuai untuk menghalusi setiap isu yang dibangkitkan.
Sejak mula lagi, keputusan kerajaan dalam membentangkan RUU ini telah menarik pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ramai yang menyokongnya, tetapi ada juga yang memberi pendapat bahawa terdapat banyak lagi perkara yang boleh dilakukan kerajaan untuk mengawal tabiat merokok ini.
Apa yang saya fahami ialah akta ini secara efektifnya, melarang semua yang lahir selepas tahun 2007 daripada merokok atau vape. Ini merupakan satu permulaan untuk hasrat kerajaan dalam mewujudkan generasi baharu yang bebas daripada tabiat merokok dan inisiatif ini dinamakan generasi end game (GEG).
Jika langkah ini berjaya, bermakna akan terdapat satu generasi yang tidak lagi terdedah kepada rokok dan akhirnya pada satu masa kelak, negara kita akan bebas rokok.
Ini kerana rakyat Malaysia yang akan mencapai umur 18 tahun tidak lagi boleh membeli rokok atau merokok seumur hidup mereka. Ia merupakan satu langkah yang bagus, tetapi adakah Malaysia sedia untuk ini?
Sebelum memaksa akta ini kepada rakyat, saya juga fikir kerajaan patut menggunakan undang-undang sediada terlebih dahulu.
Pertama sekali, saya ingin mengingatkan semua bahawa Malaysia adalah salah satu pasaran rokok seludup tertinggi di dunia dengan hampir 6 daripada 10 rokok yang dijual di Malaysia adalah rokok seludup.
Penyelidik pasaran strategik terkemuka, Euromonitor International, telah meletakkan Malaysia sebagai pasaran tembakau haram nombor satu di dunia.
Situasi ini dijangka menjadi lebih teruk kerana peningkatan inflasi dan harga makanan akan menyebabkan perdagangan haram ini lebih menguntungkan mereka yang terlibat.
Walaupun saya mengalu-alukan objektif kesihatan awam kerajaan ini, saya perlu mengingatkan realiti yang berlaku kerana ia akan mendorong mereka yang mencapai 18 tahun untuk mencuba rokok yang diseludup.
Jika akta ini dilaksanakan, saya percaya ia akan memburukkan lagi situasi perdagangan rokok haram di Malaysia dan pada masa ini negara kita dianggarkan kehilangan RM5 bilion setahun dalam hasil cukai akibat penyeludupan ini.
Kerajaan harus fokus dahulu untuk memperkukuh penguatkuasaan langkah kawalan merokok semasa kita, sebelum melangkah ke larangan generasi merokok.
Kita patut sedar bahawa langkah drastik untuk mengharamkan penjualan semua produk vape dan rokok kepada generasi muda ini mungkin akan menyebabkan sindiket penyeludupan melihat ini sebagai peluang.
Jika rokok seludup yang lebih murah boleh sampai ke tangan generasi muda, besar kemungkinan masalah ini akan menjadi lebih serius berbanding sekarang.
Kita tahu bahawa penjualan rokok memang telah diharamkan kepada mereka yang berusia di bawah umur 18 tahun. Tetapi lihatlah betapa ramainya anak muda kita merokok.
Negara Bhutan telah mengharamkan penjualan rokok sejak 2004 tetapi aktiviti penyeludupan rokok telah bertambah dan ramai golongan belia negara itu kini terjebak dengan tabiat ini.
Negara jiran kita, Singapura, juga telah mengharamkan vape sejak 2018 tetapi hampir 10,000 kes pengimportan haram dan penjualan produk berkiatan telah dilaporkan antara 2018 dan 2020.
Saya percaya penguatkuasaan daripada pelbagai agensi, kempen kesedaran belia, dan lain-lain usaha adalah jalan yang betul untuk mengurangkan gejala merokok di Malaysia.
Kerajaan juga patut mengkaji kesan langkah ini terhadap ekonomi, kerana jualan rokok atau produk tembakau dianggarkan menyumbang antara 20 hingga 30 peratus daripada perniagaan.
Seperti kita tahu, hanya sekarang peniaga mikro dan PKS mula bangkit semula selepas perniagaan mereka terjejas teruk selama 2 tahun akibat pandemik Covid-19. Dasar end game ini pula akan melumpuhkan mereka sekali lagi.
Akta ini juga menuntut para peniaga untuk melakukan semakan ID pembeli dan pembeli yang tidak selesa dengan ini mungkin akan beralih kepada penjual rokok haram yang mudah diakses dan pada kos yang jauh lebih rendah.
Kerajaan telah mengenalkan pelbagai langkah untuk membendung gejala merokok di Malaysia tetapi kesannya tidak begitu memberangsangkan. Kelaziman untuk seorang merokok hampir sama dengan populasi perokok Malaysia berlegar sekitar 4 hingga 5 juta sejak 2011.
Jadi bolehkah akta baru ini membawa apa-apa perbezaan?
Menurut statistik daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NMHS) 2019, prevalens merokok bagi Malaysia ialah 21.3% berbanding 21.5% dalam NHMS 1986, hampir tidak berubah dalam 30 tahun.
Kelaziman merokok dalam kalangan belia juga adalah lebih tinggi, iaitu 24%, mengikut tinjauan NMHS 2019.
Melihat semua ini, saya berpendapat akta ini akan memburukkan lagi keadaan perdagangan rokok haram di Malaysia, terutamanya di kalangan belia.
Cara yang lebih baik adalah dengan meningkatkan penguatkuasaan dengan peraturan sedia untuk mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia.
Pada masa sekarang, mereka dibawah 18 tahun memang tidak boleh membeli rokok dan jika polisi ini dikuatkuasakan sepenuhnya, impaknya akan sama seperti generasi end game.
Lakukanlah ini sebelum memperkenalkan sebarang dasar yang mungkin memberi kesan sosioekonomi yang negatif.
Pada masa yang sama, kerajaan juga patut menganalisa impak terhadap ekonomi dan peruncit serta berunding dengan pihak berkepentingan untuk mendengar pandangan mereka mengenai perkara ini.
Pendekatan holistik harus dipertimbangkan dengan membenarkan tempoh peralihan yang sesuai kepada pelan generasi end game ini, sama seperti di New Zealand.
Sejarah telah mengajar kita bahawa larangan tidak pernah menjadi penyelesaian untuk suatu masalah. Dasar praktikal dan realistik mesti diterima pakai. Ini lebih kurang sama seperti dasar bebas alkohol yang dikenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1920. Ia hanya bertahan selama 13 tahun sebelum polisi itu dibatalkan.
Saya berharap usaha menghalusi RUU ini peringkat JPK dapat menyelesaikan isu-isu di atas dan mengatasi segala kelemahan sebelum negara melaksanakan undang-undang “end game” ini.
Mohd Ramli Akhtar
Seberang Perai