Mohd Hairi ketika merasmikan Minggu Belia KEJORA di Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Aspirasi dan pandangan belia Johor dilihat aspek penting dan tidak harus diketepikan bagi membolehkan kerajaan negeri merangka hala tuju strategik pembangunan di negeri itu.

Justeru, jabatan dan agensi berkaitan dinasihat mendekati golongan belia, antaranya melibatkan majlis belia daerah dalam anjuran program dan mesyuaratnya.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, Johor mempunyai 2,000,000 belia.

“Hampir 21.4 peratus atau bersamaan dengan tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun.

“Sememangnya angka ini sangat signifikan sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara dan Negeri Johor khasnya,” katanya selepas merasmikan Minggu Belia KEJORA di Bandar Penawar di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri telah merencanakan pelbagai program untuk belia antaranya termasuklah mewujudkan sekolah kepimpinan belia, merangka Pelan Millenial Johor, memperkasakan lagi pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) dan juga Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC).

“Dalam tempoh singkat dan selepas negara dilanda pandemik Covid-19, kerajaan Johor telah berjaya melaksanakan program SV yang telah membantu mempercepat program vaksinasi bagi seluruh Johor.

“Tidak cukup dengan itu, sukarelawan SV dari seluruh Johor turut digerakkan membantu mangsa banjir bukan sahaja di negeri ini tetapi juga di Selangor dan Pahang.

“Itu belum diambil kira pelaksanaan TMIYC di Johor Bahru yang sudah siap dan boleh digunakan. Kemudahan khusus buat belia ini juga akan diwujudkan di semua daerah seluruh Johor, InsyaAllah.

“Apa yang dirancang hari ini akan diwarisi oleh belia-belia iaitu generasi akan datang kerana belia pencetus revolusi masa depan negara,” katanya. – MalaysiaGazette