Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Isu projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TDM) akan terus menimbulkan polemik sekiranya tiada tindakan segera diambil.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemungkinan ada pihak beranggapan pihak berkuasa seolah-olah mahu ‘mendiamkan’ isu tersebut.

Menurut Asyraf Wajdi, sekiranya terdapat kepincangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membawa kes itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk diambil tindakan dengan segera.

“Difahamkan laporan SPRM telahpun dibuat sejak tahun lepas namun sehingga hari ini belum ada apa-apa maklumat mengenai hasil siasatan ataupun tindakan di peringkat Peguam Negara.

“Pemuda UMNO beranggapan jika wujud sebarang salah laku, penyelewengan mahupun unsur-unsur rasuah, pihak SPRM harus segera mengambil tindakan tegas dan pantas membawanya ke pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya termasuk pendakwaan.

“Selagi tiada pendakwaan mahupun tindakan tegas undang-undang bagi sebarang bentuk salah laku, selagi itulah pelbagai polemik bakal timbul seolah-olah kepincangan didiamkan dan dibiarkan berlaku begitu sahaja,” kata Asyraf Wajdi dalam kenyataan di Facebook.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh sebelum ini dilaporkan berkata, kajian daya maju yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd  (BNS) mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Menurut Wong, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS dan bertentangan dengan Surat Pekeliling
Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.

Pada 25 Januari lalu, media melaporkan, SPRM telah menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).

Mereka yang berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM.

Jurucakap SPRM berkata, kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

Pada 19 Julai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, beliau percaya suruhanjaya itu akan mempunyai bukti yang mencukup untuk mendakwa mereka yang terlibat.

Beliau memberitah bahawa seorang suspek bekas pegawai tinggi syarikat yang dikaitkan dengan perkara itu adalah antara suspek dan menambah laporan mengenai tindakan lanjut telah dikemukakan kepada jabatan undang-undang SPRM.-MalaysiaGazette