KUALA LUMPUR – Isu syarikat penghantaran makanan dalam talian sering memanipulasi penghantar dengan tiadanya perlindungan keselamatan, kadar bayaran menurun dan penarikan bonus dijangka dapat diselesaikan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Mohamed Aris berkata, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon telah mengarahkan Setiausaha Politiknya, Khaizulnizam Mohamad Zuldin untuk bertemu dengan wakil penghantar berkenaan.
“Insya-Allah perkara ini akan dibawa ke Menteri Pengangkutan pada hari Isnin ini. Semoga pembelaan yang adil akan diberikan kepada pekerja gig ekonomi kita,” tulisnya di hantaran Facebook miliknya hari ini.
Semalam rider makanan telah lancarkan mogok kerana tidak puas hati terhadap syarikat pengendali seperti GrabFood, FoodPanda dan sebagainya.
Mereka adalah pekerja dalam sektor gig ekonomi iaitu pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas yang disokong dengan menggunakan aplikasi teknologi.
“Dulu kita lihat gig ekonomi ini digunakan sebagai sumber pendapatan tambahan. Kini, ianya telah menjadi pekerjaan tetap di Malaysia.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan Perdana Menteri, ekonomi gig telah ditumpukan sebagai salah satu dimensi ekonomi baharu untuk diketengahkan,” kata Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu. – MalaysiaGazette