Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin (tengah) menyampaikan hadiah kepada Sekolah Menengah Alam Shah pada Kejohanan Bola Tampar Amatur Putrajaya di Sekolah Menengah Presint 16(1), Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 07 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan mengalu-alukan penyertaan atau kerjasama semua pihak termasuk korporat dan swasta bagi memastikan murid yang ada kemahiran dalam sukan dapat dioptimumkan potensi mereka.

Menterinya, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kementeriannya menerusi Yayasan Didik Negara (YDN) sedang melaksanakan pembangunan sukan dalam kalangan murid supaya bidang itu dapat dikembalikan kegemilangannya.

“Kita sedang usahakan kerjasama dengan badan korporat dan swasta menerusi YDN. Yayasan ini akan membantu kementerian bukan saja dalam pembangunan akademik, tetapi juga kokurikulum, termasuk pembangunan sukan.

“Sebab itu, kita amat mengalu-alukan penglibatan semua pihak dalam menjayakan pembangunan Sistem Pendidikan Negara kerana kita tidak mampu melakukannya bersendirian.

“Jadi, kita memerlukan sokongan, dokongan semua pihak termasuk ibu bapa, pemimpin masyarakat, pemimpin sukan, persatuan sukan dan badan korporat untuk kita sama-sama gemblengn tenaga bagi memastikan anak kita yang berpotensi ini dapat dioptimumkan bakat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kejohanan Bola Tampar Amatur Putrajaya di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), di sini, hari ini.

Dr. Radzi berkata, kementeriannya sentiasa ingin memastikan potensi atau bakat yang ada pada murid dalam semua segi termasuk sukan dapat dioptimumkan.

“Sebab itu kita adakan banyak kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan kita dapat bukan saja mencungkil bakat baru, tetapi memberi keyakinan bahawa mereka mempunyai kekuatan masing-masing.

“Dalam konteks ini kementerian saya turut bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk sama-sama mencukil bakat murid dalam bola sepak, di mana kita adakan satu liga di seluruh negara.

“Pada masa sama juga kita akan adakan dalam masa terdekat ini satu pencarian bakat untuk sepak takraw yang mana Malaysia pernah menjadi kuasa besar sukan ini di dunia pada tahun 1992 dengan mengutip dua pingat emas dalam Sukan Asia,” katanya.

Namun, kata beliau, selepas itu sukan takraw agak terkebelakang dan sebab itu, kementeriannya berusaha untuk mengembalikan kegemilangannya dengan mencungkil bakat baru. – MalaysiaGazette