Sebahagian ahli NGO memegang plakad sebagai tanda menyokong penyerahan memorandum mengenai menggesa semua ahli parlimen menyokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok serta pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat (GEG) di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OGOS 2022.

MUTAKHIR  ini kita digemparkan dengan video viral tentang remaja dan anak-anak muda yang terpaksa ‘ditebuk’ paru-parunya akibat dipenuhi ‘air’. Masalah ini berpunca daripada penggunaan vape dalam kalangan remaja dan mereka yang masih dalam usia muda. Kesan ini digelar EVALI iaitu E-cigarette and Vape Associated Lung Injury. Ia merupakan keadaan yang mana paru-paru mengalami kerosakan akibat penggunaan rokok digital dan vape. Pelbagai reaksi dilihat dalam usaha beberapa pihak untuk mencegah penggunaan rokok dan produk berasaskan tembakau termasuklah rokok digital, vape dan sebagainya.

Rokok, tembakau dan produk berasaskan tembakau telah berada di dalam negara untuk sekian lamanya. Sedikit demi sedikit kita mengenali dan menyedari betapa banyak kemudaratan yang terhasil akibat penggunaan komoditi ini. Produk berasaskan tembakau telah mengakibatkan 8 juta kematian di seluruh dunia, yang mana 2 juta daripada kematian ini melibatkan perokok sekunder dan tertier. Ini bermaksud mereka yang tidak menghisap rokok juga masih dapat kesan sampingan yang buruk akibat produk berasaskan tembakau ini. Kematian pramatang disebabkan rokok juga adalah dalam lingkungan 27,000 orang setahun dan ini disebabkan oleh komplikasi atau penyakit yang dikaitkan dengan merokok seperti penyakit jantung iskemia (ischaemic heart disease), kanser, chronic obstructive pulmonary disease (COPD) dan pelbagai lagi.

Dalam tahun 2007, sebuah kajian mendapati bahawa sebanyak RM2.92 bilion dibelanjakan untuk merawat hanya tiga jenis penyakit yang berkaitan dengan merokok. Prevalens perokok berdasarkan tinjauan National Health & Morbidity Survey
(NHMS) yang dijalankan dalam tahun 2019 adalah sebanyak 21.3% dan bilangan pengguna rokok dan produk berasaskan rokok juga meningkat dalam kalangan remaja dan perempuan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa tembakau dan produk berasaskan tembakau memberi banyak kesan negatif terhadap kesihatan, tidak kira kepada perokok itu sendiri mahupun orang yang berada di sekelilingnya. Bahkan ada juga yang terkesan walaupun tidak berada di tempat yang sama dengan perokok itu pada waktu yang sama. Ini dipanggil kesan perokok tertier atau third hand smoker.

Bukan itu sahaja, kos merawat penyakit dan komplikasi akibat merokok juga mencecah RM8 bilion setahun, walaupun dengan cukai yang dikenakan kepada rokok dan produk berasaskan tembakau, masih lagi tidak dapat menampung perbelanjaan merawat penyakit ini. Akta yang mengawal penggunaan rokok dan produk berasaskan tembakau pada waktu ini hanyalah tertakluk kepada produk hasil tembakau. Penggunaan peranti untuk rokok elektronik, vape dan yang sewaktu dengannya masih tidak tertakluk di bawah mana-mana akta dan ini menyediakan suatu ‘loophole’ yang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi keuntungan mereka.

Selain daripada masalah kesihatan, penggunaan rokok dan produk berasaskan tembakau turut menjejaskan ekonomi keluarga. Malang sekali, kajian mendapati lebih 65% daripada pengguna produk berasaskan tembakau ini terdiri daripada golongan B40, dan hampir 20% terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan, tiada sumber pendapatan dan 8% merupakan pelajar. Kos membeli produk berasaskan tembakau yang tinggi mengakibatkan mereka cenderung untuk membeli produk yang diseludup, tidak sah di sisi undang-undang atau yang mempunyai kualiti yang terlalu rendah sehingga lebih membahayakan diri sendiri dan orang-orang di sekeliling mereka. Ada yang sanggup membelanjakan antara RM10-20 sehari bagi memuaskan ketagihan mereka terhadap rokok.

Penggunaan rokok digital juga tidak kurang menelan belanja yang mencecah RM3,000 sebulan. Selain daripada kesan-kesan negatif yang jelas bagi kesihatan individu dan keluarga mereka, terdapat juga kesan negatif yang lain iaitu ketagihan. Ketagihan ini berpunca daripada kehadiran nikotin dalam produk tembakau ini. Disebabkan itu, terdapat usaha untuk mengurangkan ketagihan kepada rokok dengan memperkenalkan rokok elektronik dan vape. Walau bagaimanapun, kaedah-kaedah ini tetap mengakibatkan ketagihan kepada nikotin berdasarkan tindakbalas kimia yang berlaku di antara nikotin dengan reseptor yang terdapat di dalam otak manusia.

Ketagihan ini akan berterusan malah boleh menjadi lebih teruk sekiranya tidak dikawal dengan segera. Oleh itu, amatlah wajar sekiranya akta melibatkan rokok dan tembakau dikemaskini dan disokong oleh semua ibu bapa yang cakna akan kesihatan dan keselamatan anak-anak mereka. Penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketat terutama di bangunan pejabat, restoran dan tempat-tempat yang menjadi tumpuan awam seperti pusat membeli belah, taman rekreasi, pengangkutan awam dan sebagainya.

Kita juga perlu mewujudkan satu jawatankuasa pemantau yang memantau premis-premis ini supaya undang-undang yang dibuat dipatuhi oleh rakyat. Pelbagai kempen kesihatan seperti ceramah, pengedaran risalah berkaitan, program berhenti merokok, klinik berhenti merokok serta kempen di media massa hendaklah dipergiat. Wujudkan pertandingan seperti membuat poster, video menggunakan aplikasi tiktok dan sebagainya dalam kempen merokok bagi menggiatkan lagi kempen ini di setiap peringkat terutamanya dalam kalangan anak muda. Sediakan platform bagi bekas perokok untuk berkongsi pengalaman dan ilmu bagi membantu orang lain yang sedang dalam usaha untuk berhenti merokok.

Berilah galakan dan insentif bagi mereka yang berusaha dan berjaya berhenti merokok untuk menggalakkan lebih ramai yang berkata ‘tidak’ kepada rokok, rokok digital dan vape serta yang sewaktu dengannya. Terdapat banyak program yang boleh dilaksanakan dalam pelbagai peringkat bagi mengatasi masalah ini. Pendidikan sejak dari peringkat kanak-kanak, pemantauan dan peraturan pada peringkat sekolah menengah dan alam remaja, penguatkuasaan dalam institusi tertier, pendedahan tentang program yang lebih sihat bagi menggalakkan kesihatan sosial seperti bersukan, program kesihatan mental bagi mengelakkan stres yang dikatakan salah satu faktor mula merokok, program dari segi spiritual seperti ceramah agama, majlis zikir, majlis pembacaan al-Quran dan sebagainya turut mampu memberi ketenangan kepada jiwa dan mendekatkan kita dengan Allah SWT. Ibn Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (Riwayat al-Bukhari)

Maka, marilah kita menjaga tubuh badan kita yang diberikan oleh Allah SWT yang merupakan amanah yang wajib kita jaga. Janganlah kita merosakkan diri kita sendiri dengan melakukan perkara yang memberi kemudaratan seperti merokok, menghisap vape dan sebagainya. Allah SWT akan mempersoalkan bagaimana kita menjaga tubuh badan kita, ke mana kita gunakan rezeki dan duit yang Allah berikan kepada kita. Semoga kita menjadi hamba Allah SWT yang bertakwa. Wallahualam

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar,
Setiausaha WARAK PAPISMA &

Prof Madya Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Fakulti Pergigian, USIM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast