Dr. Ab. Halim Tamuri

KUALA LUMPUR – Bekas Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof. Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TV Alhijrah yang baharu berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Pelantikan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad hari ini.

Menurut kenyataan, pelantikan Ab. Halim diharapkan menjadi kekuatan untuk memacu TV Alhijrah selaku sebuah stesen Televisyen Penyiaran Islam yang memberi fokus kepada pembinaan modal insan.

Selain Dr. Ab. Halim, Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama turut memaklumkan pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah TV Alhijrah.

Mereka ialah tokoh yang berpengalaman luas dalam bidang dakwah, penyiaran dan pengurusan iaitu Datuk Mohamad S. Ahmad yang merupakan seorang usahawan, Hasliana Kamaruddin dari Kementerian Kewangan, Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin
(pendakwah) dan Asmak Husin (mantan Ahli Dewan Negara yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulamak Malaysia).

Turut dilantikan ialah Roslan Shahir Mohd Shahir seorang aktivis masyarakat, Ahmad Fuad Mat Ali (Ketua Pegawai Operasi, KUISCELL Sdn. Bhd yang juga mantan Pengurus Saluran Astro Oasis, Mohamad Zarifi Mohamad Daud (Pegawai Hal Ehwal Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Datuk Seri Jailani Johari (mantan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia) dan Namanzee Harris (Ketua Pegawai Eksekutif
Alhijrah Media Corporation).

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat yakin dengan gabungan kewibawaan serta kepakaran seluruh Ahli Lembaga Pengarah sesi baharu itu dapat memacu kecemerlangan TV Alhijrah sesuai dengan visi dan misi penubuhannya. – MalaysiaGazette