Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Kali Ke-48 di Bangunan Kumpulan MUARA, Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2022.

SHAH ALAM – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal peperiksaan itu dan tidak menyambung pelajaran disaran mengikuti kursus keusahawanan di Kementerian Pembangunan Usahawanan dan Koperasi (KUSKOP).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya menyediakan pelbagai program keusahawanan kepada golongan belia dalam membantu mereka menjana pendapatan walaupun gagal dalam pelajaran.

“Belia-belia di luar sana yang ingin menceburi bidang perniagaan, dekatlah dengan KUSKOP kerana kita menyediakan pelbagai program, kita akan bantu mereka.

“Belia yang mahu berniaga tetapi tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tiada tempat, boleh mohon bantuan dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

“Ini kerana kita mempunyai program Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM),” katanya pada sidang media, di bangunan Kumpulan Muara, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Pesara Polis Selangor.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin semalam yang mendedahkan seramai 10,681 calon SPM tidak hadir menduduki peperiksaan.

Manakala 45,526 calon lagi tidak layak mendapat sijil SPM ekoran gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, dalam tempoh enam bulan tahun ini, pihaknya berjaya melatih lebih 400,000 belia melibatkan 11 agensi di bawah KUSKOP.

“Setiap agensi ada penanda aras pencapaian (KPI) untuk melatih usahawan. Kita mensasarkan 143,000 usahawan dilatih melibatkan 11 agensi antara Januari dan Jun tahun ini.

“Berdasarkan laporan yang diberikan kepada saya baru-baru ini, kita telah berjaya melatih lebih 400,000. Peningkatan sebanyak 400 peratus daripada sasaran awal,” katanya. – MalaysiaGazette