GAGASAN perjuangan menggabungkan parti politik, NGO, tokoh akademik, ahli profesional berteraskan Melayu dan Islam yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pejuang menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) mendapat tentangan dan tidak disenangi oleh mereka yang merasa terancam.
Pelbagai tuduhan, tohmahan dan kutukan yang dilemparkan lebih kepada sentimen dan emosi, kononnya undi Melayu berpecah, memberi kekuatan kepada pembangkang, itu hanyalah persepsi dan falasi.
Undi Melayu berpecah hanya dalam parti mungkin melemahkan sesuatu parti yang selama ini mendominasi.
Jika GTA menang sesuatu kawasan, Melayu juga menang. Hanya digantikan dengan Melayu yang lebih baik. Di manakah dikatakan perpecahan?
Melayu tidak berpecah masih berpegang teguh satu akidah mempertahankan Islam, masih ada harga diri tetap istiqamah untuk menegak kebenaran dan melawan kemungkaran serta benci rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, kleptokrasi, kroni dan proksi.
Maknanya dengan wujudnya GTA memberi peluang kepada pengundi Melayu memilih pemimpin yang bersih, telus dan integriti berjuang untuk mempertahankan hak Melayu yang seperti terkandung dalam Perlembagaan dan kesucian agama Islam.
Adalah kewajiban (fardu kifayah) memilih pemimpin yang bersih supaya tidak bersekongkol dengan pemimpin toksid mengkhianati bangsa, agama dan negara terlibat rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Apakah amalan ini “halal” dalam politik?
Niat GTA hanya melawan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang menggugat tadbir urus dan reputasi negara.
Jika berterusan boleh mengancam keselamatan, membantutkan perkembangan ekonomi dan menggugat kestabilan politik seperti yang sedang dialami sekarang.
Tindakan membetulkan kepincangan politik, keadaan ekonomi dan jaminan keadilan sosial hanya boleh dilakukan oleh pemimpin bersih dan bermoral.
Kedudukan Melayu dan Bumiputera semakin jauh ketinggalan. Seolah kekayaan hanya dinikmati oleh orang lain.
Tidak dinafikan selepas merdeka, Melayu dan Bumiputera menunjukkan kejayaan nominal, tetapi orang lain berganda. Jika tidak diperbetulkan mengimbangi keadaan ini, berkemungkinan Melayu akan merempat di negara sendiri. Melayu hanya tinggal kuasa politik itu pun kian terhakis oleh rasuah dan penyelewengan.
Negeri di Utara Semenanjung yang dikuasai oleh mereka sejak 2008 bagaimana dengan nasib Melayu? Mereka merancang secara halus dan mega untuk mengusir Melayu secara “perundangan”.
Mereka beli tanah-tanah Melayu, membina perumahan “mampu tengok”, merancang tiga pulau buatan dan kompleks pekerja asing di tengah-tengah majoriti komuniti Melayu dan banyak lagi usaha halus mereka.
Jika dibiarkan berterusan tanpa berbuat apa-apa jangan menyesal sambutan Hari Kemerdekaan ke-100 tahun bangsa Melayu akan senasib dengan Melayu Singapura atau Palestin yang menang sorak kampung tergadai.
GTA satu gabungan mantap gerakan yang menghimpunkan parti politik, NGO, ahli akademik, profesional, agamawan, korporat dan lain-lain berteras Melayu dan Islam yang mempunyai kesedaran, keinsafan, kesetiaan dan ketaatan terhadap Melayu dan Islam sebagai satu wadah perjuangan fisabilillah.
Selain itu, GTA membuka peluang terutamanya kepada NGO dan kumpulan akademik, profesional, agamawan dan lain-lain bukan politik turut serta dalam gerakan ini.
GTA bukan rasis hanya mempertahankan Perlembagaan, menegak kebenaran dan melawan kemungkaran, menuntut keadilan dan memperbetulkan keadaan untuk kemakmuran dan kesejahteraan negara yang berbilang kaum.
Parti-parti politik yang lain lebih rasis hanya undi kaum mereka, berjuang menuntut dan merancang untuk kaum mereka walaupun ada perkara-perkara bertentang dengan Perlembagaan.
Parti-politik Melayu dominan mutakhir ini tersimpang jauh lebih “mesra” rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa, selain tidak mempunyai visi untuk masa depan negara, melainkan hanya bergelut untuk jawatan dan membina kekayaan.
Bagi yang sudah “tertangkap” dalam proses pendakwaan sibuk mencari jalan untuk melepaskan. Mereka yang sedang berkuasa pula berdepan dengan pelbagai isu, masalah dan cabaran.
Belum selesai skandal, timbul pula skandal baru. Harga barangan terus naik, nilai ringgit terus menjunam, pergolakan politik berterusan, keadaan ekonomi tidak menentu dan banyak lagi.
Alternatifnya, GTA dari Melayu untuk rakyat semua kaum di Malaysia. – MalaysiaGazette
Nasir Othman adalah Pengerusi Putra Pulau Pinang yang juga Ahli Dewan Tertinggi Putra