Enam individu tempatan termasuk penerima dadah dan dua wanita dicekup bersama Syabu yang diperolehi dari Pantai Timur semenanjung i ibu negara semalam,. Ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan tertangkapnya lima individu, semalam

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek ditahan dalam rondaan cegah jenayah apabila anggota polis bertugas mendapati dua kenderaan dinaiki suspek dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sultan Ismail, di sini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan dalam bonet kereta Honda City, polis menemui dadah jenis methamphetamine seberat 38.161 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM1.384 juta.

“Turut dirampas sebanyak 1.7 gram dadah jenis methamphetamine dijumpai di dalam pemilikan salah seorang daripada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Dellhan, hasil soal siasat ke atas suspek mendapati bekalan dadah diperolehi dari sebuah negeri di Pantai Timur yang mana ia akan diserahkan kepada seorang penerima di ibu negara.

Berikutan maklumat yang diperoleh itu, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai ahli sindiket yang berperanan sebagai penerima dadah untuk dibawa ke lokasi lain di Jalan Cendana, jelasnya.

“Kesemua individu yang ditangkap itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 49 tahun yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan pengedaran dadah dan dua suspek yang ditangkap mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Enam individu tempatan termasuk penerima dadah dan dua wanita dicekup bersama Syabu yang diperolehi dari Pantai Timur semenanjung i ibu negara semalam,. Ihsan IPD Dang Wangi

“Kesemua mereka turut dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan keputusannya menunjukkan tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Noor Dellhan berkata, polis telah menyita wang tunai sebanyak RM1,900 dan kenderaan jenis Honda City dan Toyota Vellfire yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah tersebut.

Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette