Asyraf Wajdi Dusuki Act 342 harsher punishment
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO terus mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengumumkan segera hasil siasatan pembinaan kapal pesisir tempur (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda UMNO tetap berpendirian tindakan perlu diambi jika terdapat elemen salah guna kuasa dan rasuah.

“SPRM KL mesti segera mengumumkan hasil siasatan yang dikhabarkan beberapa individu disyaki terlibat dalam penyelewengan,” kata Asyraf Wajdi.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga  Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Ahmad Nazim Abdul Rahman yang menjelaskan isu pembinaan LCS.

Ahmad Nazim antara lain berkata, kerajaan membayar RM6 bilion daripada RM9 bilion nilai kontrak projek (LCS) kerana jumlah itu perlu dibelanjakan untuk hampir kesemua peralatan yang perlu dibina untuk membina enam kapal.

Beliau turut menjelaskan, tempahan secara banyak adalah lebih murah berbanding membeli satu persatu.

“Penerangan mengenai status kapal LCS oleh CEO Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) syarikat GLC yang mana pencarum atau pemiliknya di kalangan anggota dan pesara tentera yang juga pemilik Boustead Shipyard yang diberikan kontrak pembinaan 6 kapal bernilai RM9 bilion.

“Penangguhan berlaku zaman Pakatan Harapan memerintah 22 bulan. Apa-apa pun Pemuda UMNO tetap berpendirian sebarang salah laku atau jika wujud unsur rasuah atau salah guna kuasa, SPRM harus segera bertindak atau RCI mesti segera ditubuhkan,” kata Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan di media sosial.

MalaysiaGazatte sebelum ini melaporkan, Ahmad Nazim yang terlibat secara langsung dalam menggubal pelan pemulihan projek LCS bersama-sama Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia mengesahkan pembinaan fizikal kapal-kapal LCS sedang dijalankan.

Menurutnya, di bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang serentak.

Ahmad Nazim berkata, projek ini terhenti pada tahun 2019 atas pelbagai sebab.

Kabinet bagaimanapun pada April 2022 telah memutuskan untuk menyambung semula pembinaan projek itu berdasarkan opsyen yang paling murah.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM telah mengesahkan mempunyai bukti mencukupi bagi membawa pertuduhan terhadap beberapa individu yang terlibat dalam isu LCS.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, SPRM dilapor telah menyelesaikan beberapa bahagian kes terbabit.-MalaysiaGazette