AMPANG – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini melepas dan membebaskan Datuk Seri Jamal Md Yunos terhadap dua pertuduhan kerana memuat naik video dengan kenyataan jelik dalam akaun Facebook miliknya, dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat setelah Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Jamal pada akhir kes itu.
Terdahulu, kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Ali Raman manakala peguam Mohd. Hafizuddin Khan Norkhan pula mewakili Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Jamal, 52, didakwa secara sedar memuat naik dua video kenyataan jelik sifatnya dengan niat menyakiti hati orang lain yang kemudian dilihat pada 20 Ogos 2020 pukul 12 tengah hari di Taman Dagang Avenue, di sini.
Jamal melakukan perbuatan itu melalui laman sosial Facebook yang menggunakan profil Datuk Sri Jamal Yunos di pautan www.facebook.com/watch/live pada pukul 10 pagi dan 3 petang, 19 Ogos 2020.
Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Akta itu memperuntukan hukuman denda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette