Norena (tengah) menunjukkan sebahagian daripada 460 kilogram minyak masak botol dan gula berjumlah lebih 1.1 tan yang disorok di sebuah stor simpanan haram di Ayer Keroh, Melaka, tengah hari semalam.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) Melaka merampas lebih 1.1 tan gula dan 460 kilogram (kg) minyak masak botol yang disorok di sebuah stor simpanan haram di Ayer Keroh di sini tengah hari semalam.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari itu, pihaknya turut menahan pemilik stor terbabit, seorang lelaki berusia 60 tahun untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Rampasan barang kawalan yang dianggarkan bernilai RM7,000 itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan orang ramai di laman sosial Facebook (FB) KPDNHEP Melaka sebelum melakukan intipan beberapa jam sebelum serbuan.

“Hasil aduan dan risikan yang dijalankan sejak awal pagi menjumpai sejumlah 460 kg minyak masak botol dan lebih 1,176 kg gula pasir kasar yang mana semakan mendapati stor terbabit tidak dilesenkan untuk simpanan bekalan.

“Justeru kita percaya premis terbabit cuba menyorok barang kawalan tersebut dan sitaan telah dilakukan terhadap semua barang kawalan terbabit yahg dianggarkan bernilai lebih RM7,000,” katanya pada sidang media di stor penyimpanan KPDNHEP di Krubong hari ini.

Pihaknya percaya stor simpanan haram itu telah beroperasi sejak berlakunya pandemik Covid-19 dua tahun lalu dan dipercayai menjadi pusat penyimpanan minyak masak dan gula oleh beberapa peruncit yang beroperasi di sekitar Ayer Keroh.

Norena berkata, kes akan disiasat di bawah seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan dilakukan oleh orang perseorangan.

Sekiranya melibatkan pertubuhan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan pertama atau maksimum RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Kejayaan ini membuktikan maklumat orang awam sangat penting dalam membantu KPDNHEP Melaka membanteras salah laku berkaitan barangan kawalan bersubsidi.

“Kami menghargai dan meminta pengguna supaya terus menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast