NEWCASTLE – Seorang lelaki warga Singapura mengaku membunuh isterinya ketika mereka sedang bercuti di United Kingdom pada tahun 2021.
Barisan pembelaan Fong Soong Hert memberitahu Mahkamah Newcastle bahawa tertuduh mengaku bersalah atas tindakannya.
Mangsa, Pek Ying Ling, dikenali sebagai Evelyn Pek, ditemui mati di County Aparthotel pada 6 Disember 2021.
Semasa prosiding bermula pada hari Selasa, Hakim Paul Sloan meminta defendan berusia 51 tahun berdiri dan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Tertuduh lantas menjawab “bersalah.”
Dia akan dijatuhkan hukuman pada hari Jumaat – hukuman minimum untuk pembunuhan ialah penjara seumur hidup.
Tiga anak lelaki pasangan itu duduk di belakang galeri awam ketika bapa mereka mengakui pertuduhan itu.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata: “Kami sedih selepas kehilangan ibu, tetapi sekarang kami hanya mahu memberikan sokongan yang diperlukan oleh ayah kami.”
Pegawai Penyiasat Polis, Matt Steel menyifatkan kes ini sangat tragis.
Soong Hert membuat pengakuan itu selepas lima hari perbicaraan berlangsung.
Bertindak bagi pihak pendakwaan, Peter Makepeace memberitahu mahkamah minggu lalu Soong Hert dan isterinya berada di United Kingdom kerana melancang ke Dubai dan Eropah.
Mereka telah merancang untuk melawat Scotland, tetapi semasa di Isle of Skye, sebuah pulau kecil di luar pantai Scotland, Soong Hert terjatuh.
Semasa berjalan-jalan pada suatu petang, dia tersandung ketika melangkah dalam kegelapan dan jatuh ke dalam tebing yang curam.
Mahkamah dimaklumkan ambulans yang tiba telah memberi ubat penahan sakit kepada tertuduh sebelum dibawa ke hospital.
Beberapa hari kemudian, pasangan itu pergi ke Newcastle bersama anak lelaki mereka Alonzo Fong dan mendaftar masuk ke Country Aparthotel di Westgate Road.
Mahkamah kemudian diperdengarkan rakaman panggilan Alonzo kepada perkhidmatan kecemasan pada jam 7 pagi pada 6 Disember.
Mayat mangsa ditemui dengan 11 lebam dan pendarahan kelihatan di dagu, bahu, lengan dan kaki
Semasa memberi keterangan, tertuduh menyifatkan perkahwinannya sebagai “indah”, “damai” dan “sangat bahagia”.
Ketika disoal pihak pendakwaan, defendan mendakwa dia tidak ingat sebarang butiran berhubung pembunuhan isterinya.
Dia menjawab “Saya tidak tahu” atau “Saya tidak ingat” kepada kebanyakan soalan yang diajukan kepadanya. – CNA