PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan menjelaskan lesen vokasional yang bakal disyaratkan kepada penunggang p-hailing bukan lesen memandu lesen kenderaan perdagangan (GDL) yang digunakan terhadap kenderaan komersial untuk mengangkut barangan.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, nama baharu untuk lesen penunggang perkhidmatan p-hailing akan diputuskan apabila beberapa akta telah dipinda.
Jelas beliau, lesen itu berbeza dengan permohonan untuk mendapatkan GDL yang mana penunggang hanya perlu mengikuti kursus singkat beberapa jam dan tidak perlu ke institut memandu.
“Kerajaan sentiasa mahu memudahkan penunggang golongan p-hailing di mana lesen vokasional untuk mereka tidak akan membebankan.
“Ia boleh dimohon secara pendaftaran murah dan mudah serta hanya membabitkan pembayaran token.
“Malah moratorium akan diberikan untuk tempoh pendaftaran itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Isnin lalu, Ka Siong berkata, penunggang perkhidmatan p-hailing bakal disyaratkan untuk memiliki GDL apabila beberapa akta sedia ada dipinda bagi memastikan perkhidmatan p-hailing di negara ini diselia dengan baik.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas bersetuju supaya Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dipinda.
Namun istilah itu menimbulkan kekeliruan apabila ramai beranggapan ia adalah GDL yang digunakan terhadap kenderaan komersial mengangkut barangan.
Ini kerana pemilikan GDL akan membebankan kalangan penghantar p-hailing berdasarkan beberapa asas pelaksanaan termasuk motosikal penghantar p-hailing wajib menjalani proses pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Selain itu, motosikal akan dikategorikan sebagai kenderaan perdagangan dan akan menyebabkan kos penghantar menjadi lebih tinggi kerana membabitkan Polisi Insurans Kenderaan Perdagangan. – MalaysiaGazette