Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Barisan peguam baharu mewakili Datuk Seri Najib Razak difahamkan akan menarik diri jika mereka tidak diberikan penangguhan bagi mempersiapkan diri untuk prosiding pengurusan kes rayuan terakhir SRC International Sdn Bhd (SRC).

Andainya permohonan untuk penangguhan prosiding masih tidak mendapat kelulusan Mahkamah Persekutuan, peguam dari Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners yang diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik akan menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Ia merupakan antara intipati pengurusan kes petang tadi, namun pihak media masih menunggu ulasan daripada pihak terbabit.

Hisyam Teh Poh Teik

Pendengaran akhir rayuan sabitan hukuman penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta itu bermula 15 Ogos ini.

Baru-baru ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menamatkan perkhidmatan firma guaman, Tetuan Shafee & Co; peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan seluruh pasukan pembelaannya serta menggantikannya mereka dengan Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners (ZIST) manakala Hisyam dilantik bagi menggantikan peguam.

Selain Hisyam, turut menyertai pasukan itu ialah Rueben Mathiavaranam dan Liew Teck Huat.

Zaid Ibrahim

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC.

Mahkamah juga pada masa sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho.

Terdapat dakwaan yang menyatakan Zeti digunakan Jho Low untuk memudahkan beliau menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC. -MalaysiaGazette