KUANTAN – Sebanyak 2,042 kes hilang pendengaran atau pekak semasa pekerjaan direkodkan daripada kesemua 4,928 kes diterima sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2022 di negara ini.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kementerian Sumber Manusia, Mohd Anuar Embi berkata, peningkatan kes penyakit hilang pendengaran berpunca daripada pekerjaan di negara ini semakin serius.
Menurutnya, sebanyak 1,273 atau 62.3 peratus adalah penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan pekerjaan, 35 kes atau 1.7 peratus pula masalah tulang dan otot pekerjaan.
“Manakala sebanyak 29 kes atau 1.4 peratus berkaitan pendedahan bahan kimia berbahaya,” katanya pada sidang media sejurus pelancaran Seminar Guideline on Management of Occupational Noise-Related Hearing Disorders di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan hari ini.
Menurut Mohd Anuar, Kementerian Sumber Manusia melalui JKKP memandang serius trend peningkatan kes penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan di industri.
Jelasnya, penyakit melibatkan pekerjaan ini memberi implikasi negatif terutama dalam aspek ekonomi dan sosial yang perlu ditanggung oleh pekerja, keluarga pesakit, majikan dan negara.
Dalam pada itu, hampir 600 peserta daripada pelbagai sektor pekerjaan di seluruh negara menghadiri seminar yang berlangsung dua hari di UIAM Kuantan.
Seminar berkenaan menekankan garis panduan holistik bagi membantu pihak industri dan pengamal perubatan terutama doktor di dalam pengurusan kes-kes penyakit kehilangan pendengaran akibat kebisingan pekerjaan dalam industri. – MalaysiaGazette