Najib Tun Razak (kiri) dan garis masa kemajuan projek LCS.

KUALA LUMPUR – Kapal pertama Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepatutnya siap dan diserah pada April 2019 seperti yang dinyatakan dalam kontrak.

Tetapi Pakatan Harapan (PH) memutuskan melaksanakan forensik audit terhadap projek LCS beberapa hari selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu pada 30 Mei 2018.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu diakui sendiri oleh oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh.

Garis masa projek LCS TLDM yang dikongsi oleh Najib Razak

Dalam posting terbaharunya di Facebook, bekas Perdana Menteri itu berkongsi garis masa atau timeline kronologi projek berkenaan.

Beliau memberikan gambaran yang lebih jelas kemajuan projek terbabit dan bagaimana projek ini menjadi lewat daripada dijadualkan.

“Timeline kemajuan projek LCS. Saya lukis supaya lebih mudah untuk faham,” kata Najib yang turut berkongsi graf garisan masa kronologi projek tersebut.

Berdasarkan garis masa berkenaan, kontrak rasmi projek LCS ditandatangani pada 17 Julai 2014.

Pembinaan fizikal enam buah kapal itu bermula pada 1 Januari 2015 dan dibuat secara serentak bukannya satu persatu.

Menurut Najib, berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Wong, tahap kemajuan projek telah mencapai 44 peratus ketika majlis penamaan dan pelancaran ke air kapal pertama dilakukan pada 24 Ogos 2017.

“Kapal Tempur Pesisir (LCS) tercanggih pertama milik TLDM yang pernah dilancarkan pada 2017 sebenarnya dalam keadaan tidak siap.

“Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata berdasarkan prosiding dijalankan, pihaknya mendapati LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus,” kata Najib.

Tahap kemajuan pembinaan LCS mencapai 50.15 peratus pada 1 Januari 2018 seperti yang disahkan oleh bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong baru-baru ini.

PRU14 berlangsung pada 9 Mei yang menyaksikan kemenangan PH dan forensik audit bermula pada 30 Mei 2018.

Kapal pertama LCS sepatutnya siap dan diserah seperti dalam kontrak pada April 2019.

Menurut Najib, forensik audit yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan berakhir pada Ogos 2019.

Tambahnya, berdasarkan kenyataan Mohamad Sabu, projek berkenaan yang telah mencapai 55.07 peratus kemajuan telah dibekukan pada September 2019.

Pembinaan LCS terus terhenti pada tahun 2020 hingga tahun 2021 berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pada 20 April tahun ini Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan penyambungan semula projek berkenaan.

Menurut Najib, kontrak sampingan telah ditanda tangan dengan syarikat Boustead pada 31 Mei 2022 untuk menyambung semula pembinaan LCS selepas sekian lama diberhentikan.-MalaysiaGazette