Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 10 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi utama pendakwaan kes rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng cuti sakit selama empat hari dan tidak dapat memberikan keterangan di mahkamah.

Sepatutnya, hari ini pasukan pembelaan diketuai Gobind Singh Deo menyambung pemeriksaan balas terhadap Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Namun ketika prosiding, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib bahawa Zarul yang juga saksi ke-23 tidak sihat dan mempunyai cuti sakit.

“Saksi pendakwaan memaklumkan kami bahawa beliau telah di beri cuti sakit empat hari bermula semalam,” katanya.

Azura kemudian meneruskan prosiding dengan memanggil saksi ke-30, Tan Gaik Eng.

Untuk makluman, semalam, Zarul yang juga Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) memohon penangguhan ketika prosiding sedang berjalan dan dibenarkan pulang untuk berehat.

Kata Zarul, hari sebelum itu, beliau telah berjumpa doktor dan dimaklumkan tentang kesihatan dirinya termasuklah keadaan jantung yang berdengup kencang serta tekanan darah naik.

“Saya memang sepatutnya berjumpa doktor pakar, saya tidak sihat. Semalam selepas prosiding saya telah berjumpa dengan doktor dan telah diminta untuk melakukan pemeriksaan lanjut, saya belum buat temujanji sahaja lagi.

“Saya benar-benar rasa tidak sihat,” katanya kepada hakim sebelum prosiding tamat lebih awal.

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah tangguh prosiding, saksi kes terowong dasar laut dakwa tekanan darah naik

Sebelum itu, Gobind dilihat berterusan mengasak Zarul untuk mendedahkan mengenai RM19 juta yang telah diberikan kepada ahli perniagaan, G. Gnanaraja itu yang mahu dipulangkan kembali kepada Zarul.

Zarul mendakwa beliau sanggup membayar RM19 juta kepada Gnanaraja agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan kes rasuah berkaitan projek terowong terhadap Guan Eng.

Peguam, Gobind Singh Deo hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 OGOS2022

Dakwa Zarul, Gnanaraja menipunya dengan mendakwa wang itu untuk merasuah Datuk Seri Najib Razak yang menjadi perdana menteri ketika itu agar siasatan tidak diteruskan.

Zarul juga mendakwa terpaksa membayar wang berkenaan kerana kerana diugut akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berhubung penglibatannya dalam projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi itu.

Bagaimanapun dakwa Zarul, bukan sahaja wang itu dibayar kerana takut dengan ugutan siasatan AMLA sebaliknya mendakwa dirinya ada memberitahu siasatan itu akhirnya akan menjurus serta menyasarkan kepada Guan Eng.

Prosiding bersambung ketika ini.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan sedang berdepan dengan kes menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Beliau juga didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu daripada Zarul Ahmad sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Selain itu, Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.-MalaysiaGazette