Saksi Utama, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Prosiding rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng terpaksa ditangguhkan lebih awal hari ini.

Ini kerana saksi utamanya, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang kelihatan seperti tidak sihat memohon supaya dirinya dibenarkan pulang untuk berehat.

Dakwa saksi ke-23 itu, dirinya tidak sihat malah telah berjumpa dengan doktor semalam sebelum dimaklumkan tentang kesihatannya termasuklah keadaan jantung yang berdengup kencang serta tekanan darah naik.

“Saya memang sepatutnya berjumpa doktor pakar, saya tidak sihat. Semalam selepas prosiding saya telah berjumpa dengan doktor dan telah diminta untuk melakukan pemeriksaan lanjut, saya belum buat temujanji sahaja lagi.

“Saya benar-benar rasa tidak sihat,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi hari ini.

Azura kemudian membenarkan prosiding ditangguhkan selama 10 minit supaya saksi dapat berehat dan minum air namun perbicaraan terpaksa ditangguhkan sehingga esok kerana Zarul memohon penangguhan.

Terdahulu ketika prosiding pagi ini yang berlangsung dalam keadaan sedikit panas apabila peguam Guan Eng, Gobind Sigh Deo berterusan mengasak Zarul mengenai RM19 juta yang telah diberikan kepada ahli perniagaan, G. Gnanaraja itu di ulangkan kembali kepadanya.

Untuk makluman, sebelum ini Zarul mendakwa beliau sanggup membayar RM19 juta kepada Gnanaraja agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan kes rasuah berkaitan projek terowong terhadap Guan Eng.

Dakwa Zarul, Gnanaraja menipunya dengan mendakwa wang itu untuk merasuah Datuk Seri Najib Razak agar siasatan tidak diteruskan.

Zarul juga mendakwa dia terpaksa membayar wang berkenaan kerana kerana diugut akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berhubung penglibatannya dalam projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi itu.

Bagaimanapun dakwa Zarul, bukan sahaja wang itu dibayar kerana takut dengan ugutan siasatan AMLA sebaliknya Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) itu mendakwa dirinya ada memberitahu siasatan itu akhirnya akan menjurus serta menyasarkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang (Guan Eng).

Gobind: Datuk Zarul, beritahu mahkamah apakah purpose (tujuan) kamu minta duit kamu balik?

Zarul: Purpose? Saya hanya hendak duit saya. Itu purpose saya.

Gobind: Tolong jawab soalan saya. Apa purpose kamu? Apakah arahan yang kamu berikan kepada peguam kamu untuk minta balik duit RM19 juta itu?

Zarul: Purpose? Saya hendak duit balik.

Pendakwaan bangkit memberitahu hakim bahawa saksi sudah berkali-kali menjawab soalan itu namun tidak diendahkan oleh Gobind.

Gobind: Apa sebenarnya tujuan kamu minta balik?

Zarul: Yang Arif, saya sudah jawab, saya hendak duit saya balik.

Gobind: Apa tujuan duit itu dipulangkan?

Zarul: Duit itu sepatutnya diberikan kepada PM. Ok, kamu tanya sahaja peguam saya.

Gobind: Saya tanya kamu, apakah arahan kamu kepada peguam kamu?

Zarul: Saya hanya minta duit saya dipulangkan. Yang Arif, tolonglah benarkan saya pulang ke rumah hari ini. Saya tidak sihat.

Gobind: Tolong jawab soalan saya dulu.

Zarul: Tolong ikut saya jumpa doktor. Semalam doktor sudah maklumkan pada saya jantung saya berdegup kencang, tekanan darah tidak stabil.

Gobind: Saya tidak mahu ikut kamu ke mana-mana. Kalau kamu perlukan bantuan perubatan, anda harus dapatkannya dan kita harap kamu akan sihat sepenuhnya. Tetapi pada masa ini, tolong jawab soalan saya terlebih dahulu.

DPP: Tolong bagi break sebentar.

Hakim: Saya tidak mahu sesiapa sakit. Kita tangguh sebentar.

Prosiding kemudian ditangguhkan esok sekitar pukul 9.30 pagi memandangkan Zarul terbatuk-batuk dan kelihatan tidak sihat.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan sedang berdepan dengan kes menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Beliau juga didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu daripada Zarul Ahmad sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Selain itu, Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.-MalaysiaGazette