KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan menolak dakwaan pelaksanaan lesen memandu vokasional (GDL) menyusahkan penunggang p-hailing dan e-hailing kerana ia hanya satu kaedah lesen vokasional kepada mereka.
Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kaedah perlesenan dalam pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan tidak memerlukan lesen GDL dan tiada pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Pindaan RUU kita adalah lesen vokasional jadi dia akan dibuat secara token dan dipermudahkan kerana p-hailing ini satu bisnes yang berbeza dengan bisnes bawa penumpang dengan lori yang besar.
“Ia tidak sama, jadi kekhuatiran mereka saya sudah perjelaskan dan ini berkisar kepada tajuk utama akhbar arus perdana.
“Malah dalam kenyataan rasmi saya tidak pernah guna GDL,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ekspo Teknologi Rel (RTX) di KL Sentral hari ini.
Kenyataan itu dibuat Ka Siong selepas Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan yang memberikan jaminan tidak akan melaksanakan penguatkuasaan GDL terhadap penunggang p-hailing.
Jelas Ka Siong lagi, pelaksanaan kaedah perlesenan vokasional itu sebagai langkah pendaftaran kepada penunggang-penunggang p-hailing mahu pun e-hailing mengikut kaedah undang-undang.
“Soal pembayaran tidak jadi masalah sebab akan dibuat secara token dan saya bagi jaminan kerajaan akan salurkan moratorium secara token dan cuma perlu daftar.
“Sebab ia perlu ada kaedah dengan mereka memilik lesen berkenaan,” katanya lagi.
Pengerusi PENGHANTAR, Zulhelmi Mansor sebelum ini berkata, pihaknya membantah syarat wajib memiliki lesen GDL kerana akan membebankan penghantar p-hailing.
Pihaknya jelas tidak setuju dengan syarat itu berdasarkan beberapa asas pelaksanaan lesen GDL termasuk motosikal penghantar p-hailing wajib menjalani proses pemeriksaan PUSPAKOM. – MalaysiaGazette