Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai . Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang jurujual sebuah syarikat kereta di Sentul dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan urusan pembelian kenderaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada 3 Ogos lalu, pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan penipuan daripada seorang mangsa dalam urusan pembelian kereta melibatkan suspek.

Katanya, mangsa dalam aduannya mendakwa telah berurusan dengan suspek untuk urusan dokumentasi dan pembayaran awal tempahan.

“Hasil siasatan mendapati suspek akan meminta bayaran tempahan awal sebanyak RM1,000 dan mangsa akan menerima resit tempahan menggunakan resit syarikat.

“Mangsa diminta membuat bayaran susulan setelah dimaklumkan suspek yang mana kereta yang ditempah telah sampai dan kesemua pembayaran telah dimasukkan ke dalam dua akaun peribadi milik suspek.

“Namun apabila mangsa datang ke syarikat itu untuk mengambil kereta, pihak pengurusan memaklumkan tiada sebarang pembayaran diterima daripada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, setakat ini, polis telah menerima lapan laporan polis melibatkan modus operandi dan suspek yang sama.

Siasatan polis mendapati kenderaan yang ditempah oleh mangsa pelbagai jenis bernilai antara RM89,000 sehingga RM140,000.

Tambah beliau, mangsa yang ditipu oleh suspek mengalami kerugian antara RM1,800 hingga RM70,000 dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM129,368.50.

“Bertindak atas maklumat serta aduan mangsa-mangsa, pada 5 Ogos lalu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah menangkap seorang lelaki warga tempatan berumur 42 tahun yang merupakan suspek yang terlibat dalam kes ini di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis merampas kad ATM melibatkan akaun bank milik suspek dan telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk menerima bayaran dan menipu kesemua mangsa membeli kereta.

“Semakan lanjut mendapati, suspek yang ditangkap mempunyai tiga rekod lampau melibatkan kes pecah amanah dan tipu,” ujarnya.

Suspek kemudian dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan dibenarkan ditahan selama enam hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Kini suspek telah dihantar ke daerah lain untuk siasatan berkaitan laporan membabitkan kes penipuan yang sama,” katanya.- MalaysiaGazette