Jemaah menunaikan solat Jumaat dalam kedaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2022.

MELAKA – Melaka menarik semula kebenaran mendirikan solat Jumaat diĀ  228 buah surau seluruh negeri ini berkuat kuasa 19 Ogos ini.

Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu diluluskan kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali 3 Ogos lalu.

Menurutnya, keputusan itu selaras dengan syor daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 27 Jun lalu untuk menamatkan kebenaran sementara kerana Covid-19 yang diberikan kepada surau-surau negeri Melaka.

“Mesyuarat MMKN telah bersetuju agar kebenaran mendirikan Jumaat secara sementara kerana Covid-19 yang diberikan kepada surau-surau negeri Melaka ditamatkan berkuat kuasa 19 Ogos 2022.

“Ini bermakna 12 Ogos (esok) adalah Jumaat terakhir bagi semua surau yang berkenaan dan selepas tarikh tersebut semua anak kariah hendaklah kembali mendidikan Jumaat di masjid kariah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, keputusan itu juga berdasarkan beberapa justifikasi antaranya ruang masjid masih boleh menampung kapasiti jemaah dalam satu-satu masa, mengimarah dan meninggikan syiar Islam di masjid-masjid dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat melalui penglibatan bersama dalam aktiviti-aktiviti masjid.

“Keputusan ini adalah selari dengan kaedah fiqh bahawa apabila darurat menimpa seseorang atau jemaah, jika beramal dengan hukum asal yang disyarakkan dalam keadaan biasa akan menyulitkan dan membebankan mereka untuk melaksanakannya, maka kerana itu diberi keringanan dan kemudahan ke atas mereka selagi mana darurat itu masih wujud.

“Saya bagi pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan kerajaan negeri, mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua surau yang telah mengambil tanggungjawab mendirikan Jumaat walaupun secara sementara bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di negeri ini mendirikan Jumaat dalam tempoh Covid-19,” katanya.

Ia juga, jelasnya diharap dapat meningkatkan martabat dan syiar Islam di Melaka dan mengukuhkan perpaduan serta kesatuan ummah. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast