Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman

KUALA LUMPUR – Calon-calon yang berumur 30 tahun ke atas mempunyai peluang yang lebih besar untuk memenangi pilihan raya di negara ini.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, dapatan tersebut berdasarkan kajian terkini beliau terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Mereka mengatakan bahawa calon dewasa itu ada pengalaman, boleh bawa perubahan, boleh menyelami perasaan anak muda.

“Pemimpin muda dianggap masih lagi mentah menyebabkan ramai yang lebih suka memilih calon 30 tahun ke atas,” katanya ketika bercakap sebagai ahli panel pada program Bicara Nasional bertajuk ‘Senario Politik Semasa di Malaysia’ di Auditorium Rasydan Baba, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini hari ini.

Program yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Zaid Ahmad dari UPM itu turut disertai dua ahli panel lain iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose serta pensyarah UPM, Prof. Datuk Dr. Jayum Jawan.

Namun, Ismail berkata, dalam kajiannya yang lain, pengaruh parti berasaskan anak muda meningkat sebanyak 40 peratus ketika ini.

Beliau memberitahu, pengundi muda yang dijangka mencecah jumlah empat juta orang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih menggemari pemimpin muda dan tokoh berjiwa muda.

“Di kawasan bandar, golongan muda boleh menang dengan syarat mereka kena turun padang,” jelasnya.

Dari segi parti politik pula, Ismail menambah, usia tua atau muda tidak dianggap faktor penting dalam pemilihan calon.

Beliau turut menggariskan enam pembolehubah yang sering dijadikan sebagai kriteria pemilihan calon pilihan raya iaitu perwatakan, parti politik, sentimen dan isu, rekod prestasi, manifesto dan hubungan dengan pengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast